Cadangan tutup sekolah demi pergerakan delegasi sidang Asean mengarut, kata pakar
Penyelesaian masalah lalu lintas dikemukakan kerajaan menjelang mesyuarat Asean mengundang persoalan kecekapan pengurusan.
Terkini
Langkah Putrajaya untuk melaksanakan pembelajaran secara atas talian (online) bagi meredakan kesesakan trafik semasa siri mesyuarat Asean pada Mei dan Oktober disifatkan sebagai mengarut oleh seorang pakar pengangkutan.
Rosli Khan berkata Kementerian Pendidikan sewajarnya memahami mengapa kawasan sekolah berdepan dengan kesesakan trafik.
"Satu sebab utama ialah ramai ibu bapa yang menetap di bandar memilih untuk memandu kenderaan persendirian bagi menghantar anak ke sekolah berbanding menggunakan bas sekolah. Ini mengakibatkan kesesakan ketika masa menghantar dan mengambil.
"Malangnya, kementerian sendiri tidak mampu melihat pendidikan trafik dan keselamatan jalan raya melangkaui bilik darjah," katanya kepada MalaysiaNow.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek baru-baru ini mengesahkan kementeriannya sedang mengenal pasti sekolah-sekolah terkesan bagi memastikan perjalan program Asean berjalan lancar selain mengurangkan kesesakan jalan raya.
"Ia tidak menjadi masalah. Kami bersedia. Kami mahu pastikan program Asean berjalan lancar dan mengelakkan kesesakan lalu lintas," Fadhlina dilaporkan berkata.
Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan sebelum ini berkata cadangan membenarkan pembelajaran secara online akan dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi melancarkan perjalanan Sidang Kemuncak Asean pada Mei, serta Sidang Kemuncak Asean bersama Rakan Dialog pada Oktober nanti, yang mana Malaysia merupakan pengerusi pertubuhan tersebut tahun ini.
Ia susulan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping, yang menyaksikan penutupan 17 jalan di Lembah Klang mengakibatkan kesesakan trafik.
Mohamad memohon maaf atas situasi itu, dan berkata beliau akan mencadangkan kakitangan awam dari jabatan berkaitan supaya dibenarkan bekerja dari rumah semasa sidang Asean, di samping kelas dijalankan secara dalam talian bagi mengurangkan kesesakan di Lembah Klang.
Rosli berpandangan tiada keperluan untuk menutup mana-mana jalan jika kerajaan cekap dalam pengurusan dan perancangan trafik bandar.
Namun bekas ketua pengarah Kementerian Pendidikan, Alimudin Mohd Dom menyifatkan cadangan itu "menang-menang" memandangkan pembelajaran online bukan satu perkara baru.
"Semasa Covid-19, hampir dua tahun pelajar kita menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian. Pihak sekolah dan guru sudah mempunyai pengalaman manakala kemudahan internet di ibu kota tidak mempunyai masalah berbanding luar bandar.
"Sudah tentu persediaan awal akan dibuat oleh pihak sekolah dan ibu bapa yang terlibat untuk membolehkan anak mereka belajar.
"Pelajar yang tiada peranti boleh ke pusat komuniti terdekat untuk menggunakan kemudahan di pusat komuniti," katanya.
Rosli menegaskan kementerian tidak boleh terlalu mengikut kehendak ahli politik atau dijadikan alat untuk mendapat sokongan atau populariti.
"Pendidikan mesti kekal neutral dan menjadi ruang bebas yang bertumpu pada pertumbuhan kanak-kanak. Ia bukan alat tawar-menawar dalam keputusan dasar yang bertujuan untuk menyenangkan individu atau kumpulan tertentu.
"Kesejahteraan pelajar, guru dan komuniti sekolah tidak boleh dikompromi untuk kesenangan politik atau manfaat jangka pendek."
Malaysia melaksanakan pembelajaran secara dalam talian buat pertama kali dalam sejarah semasa pandemik Covid-19 melanda dunia pada 2020 dan berlanjutan selama beberapa tahun ekoran perintah kawalan pergerakan.
Bagaimanapun, kaedah itu berdepan cabaran tersendiri antaranya jurang digital yang ketara yang mana tidak semua pelajar mempunyai akses kepada peranti digital dan sambungan internet.
Pelajar juga hilang minat dan sukar memberi tumpuan oleh kerana tiada pemantauan guru, interaksi secara langsung dan suasana rumah yang tidak kondusif.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.