- Iklan -
Berita

Malaysia, Indonesia perangai 'diskriminasi' EU terhadap minyak kelapa sawit

Minyak kelapa sawit adalah produk komoditi yang menjadi kontroversi, apabila dipersalahkan oleh pencinta alam sekitar kerana menyemarakkan kemusnahan hutan hujan di Malaysia dan Indonesia, yang bersama-sama menghasilkan 85% daripada keluaran global.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Malaysia dan Indonesia mengeluarkan 85% keluaran global untuk minyak kelapa sawit.
Malaysia dan Indonesia mengeluarkan 85% keluaran global untuk minyak kelapa sawit.

Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa kerjasama lebih kukuh dengan Malaysia untuk melindungi minyak kelapa sawit yang diancam oleh undang-undang perdagangan Kesatuan Eropah yang disifatkannya sebagai "diskriminasi". 

Parlimen Eropah menerima pakai undang-undang baharu pada bulan April lalu yang akan menyekat pengimportan produk yang dianggap mendorong penebangan hutan, sekali gus meletakkan blok perdagangan itu di belakang perjuangan global menentang perubahan iklim.

Undang-undang itu, yang sedang dalam kelulusan akhir daripada negara anggota EU, akan menyekat import dari seluruh dunia bagi produk seperti kopi, koko, soya, kayu, minyak kelapa sawit, lembu, kertas cetak dan getah. 

Import yang berpunca daripada tanah hasil penebangan hutan selepas 31 Disember 2020, juga akan diharamkan dalam pasaran EU – pasaran ketiga terbesar untuk Indonesia dan Malaysia. 

“Jangan biarkan produk komoditi keluaran Malaysia dan Indonesia didiskriminasi oleh negara lain,” kata Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi pada sidang media bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Kita perlu terus memperkukuh kerjasama ini," katanya selepas kedua-dua pemimpin itu bertemu di Putrajaya. 

Indonesia menyumbang lebih separuh daripada bekalan global minyak masak itu, yang digunakan dalam membuat makanan seperti kek, coklat, dan marjerin serta kosmetik, sabun dan syampu. 

Bagaimanapun, minyak kelapa sawit adalah produk komoditi yang menjadi kontroversi, apabila dipersalahkan oleh pencinta alam sekitar kerana menyemarakkan kemusnahan hutan hujan di Malaysia dan Indonesia, yang bersama-sama menghasilkan 85% daripada keluaran global. 

Menurut kumpulan alam sekitar, perkembangan pesat ladang telah memusnahkan habitat haiwan yang jarang ditemui, manakala terdapat dakwaan pekerja asing didera dan dianiaya di beberapa ladang.

Widodo berkata beliau "sangat menghargai" kerjasama berterusan antara kedua-dua negara, merujuk lawatan baru-baru ini oleh pegawai Indonesia dan Malaysia ke Brussels untuk memerangi undang-undang penebangan hutan EU. 

Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas kedua-dua pemimpin bertemu berkata mereka telah bersetuju untuk "bekerjasama rapat bagi menangani langkah diskriminasi yang sangat merugikan terhadap minyak kelapa sawit oleh Kesatuan Eropah." 

"Mereka menggariskan bahawa EU perlu segera menangani langkah diskriminasi tersebut dan berusaha ke arah penyelesaian yang adil dan saksama," tambahnya.