- Iklan -
Berita

Anwar minta tanya Mat Sabu, kerajaan ‘U-turn’ pelan apungan harga telur

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan sebelum ini berkata harga telur akan ditentukan oleh pasaran bagi memudahkan penyeliaan harga makanan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja meletakkan tanda harga di bahagian telur di pasar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Seorang pekerja meletakkan tanda harga di bahagian telur di pasar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat cuba mengelak daripada mengulas pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu bahawa harga telur akan diapungkan mulai 1 Julai, dengan kementerian itu hari ini berkata rancangan tersebut ditangguhkan.

Ketika ditanya pemberita mengenai jangkaan kenaikan harga telur, Anwar dipetik Utusan Malaysia menjawab: “tanya menteri pertanian”.

Namun beberapa jam kemudian, kementerian Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengeluarkan kenyataan bersama yang memaklumkan pelan apungan harga tidak akan dilaksanakan dan subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur akan diteruskan. 

“Keputusan meneruskan pemberian subsidi ini (juga) diambil demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras aspirasi kerajaan Madani,” menurut kedua-dua kementerian itu.

Terdapat kebimbangan daripada pengguna bahawa harga telur akan meningkat susulan bekalan yang terhad. 

Pada Februari, Mat Sabu berkata harga telur akan diapungkan oleh pasaran menjelang Jun sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengatasi kekurangan makanan. 

Beliau berkata pengapungan harga telur akan membolehkan pihak berkuasa memantau dan menilai turun naik harga barangan tersebut berbanding harga siling semasa. 

"Kami yakin Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memenuhi permintaan ayam dan telur (melalui pengapungan harga)," katanya.

Pada Mac, Mat Sabu terlibat dalam kontroversi selepas muncul gambar beliau bersama ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan dalam penerbangan ke India, menimbulkan persoalan mengenai kontrak kerajaan kepada syarikat tunggal untuk pembekalan telur dari negara itu. 

Ini susulan pengakuan Mat Sabu hanya sebuah syarikat dianugerahkan permit khas untuk mengimport telur dari India sehingga Jun. 

Tindakan itu mendapat kritikan daripada Presiden MCA Wee Ka Siong, yang mempersoalkan kualiti telur yang diimport. 

Kenyataan Wee, yang dibuat di Dewan Rakyat atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen Ayer Hitam.

Ini disusuli dengan surat tuntutan saman daripada firma guaman yang mewakili pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd.