- Iklan -
Berita

Masa depan KJ lebih cerah bersama PN, kata penganalisis veteran

Ahmad Atory Hussain berkata bekas pemimpin Umno itu akan dapat memanfaatkan sokongan padu pengundi Melayu yang dinikmati oleh pembangkang Persekutuan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Masa depan politik Khairy Jamaluddin pada masa akan datang dilihat lebih cerah jika bekas ahli Umno itu menyertai Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis politik veteran, Ahmad Atory Hussain.

Bercakap dengan MalaysiaNow, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, peluang Khairy yang mesra dengan panggilan KJ dijangka lebih meyakinkan bersama PN memandangkan gabungan itu mempunyai sokongan Melayu yang lebih kukuh.

Katanya, sokongan Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini penting untuk membolehkan mana-mana ahli politik memegang jawatan perdana menteri.

Justeru, Atory berpandangan, Khairy dapat mengukuhkan lagi portfolio karier politiknya sekiranya bekas ahli Parlimen Rembau itu bersetuju menyertai PN dan menjadi calon menteri besar di Negeri Sembilan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khairy yang dihantar untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh mendedahkan hasratnya untuk menjadi perdana menteri selain menyasarkan untuk "membersihkan" Umno.

Bagaimanapun, Khairy pada Januari lalu dipecat bersama beberapa pemimpin Umno lain dan sehingga kini bekas ketua Pemuda Umno itu belum menyertai mana-mana parti politik.

Baru-baru ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mendedahkan Khairy ditawarkan jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Walaupun Khairy tidak memberikan lagi jawapan mengenai pelawaan itu, beliau mengatakan segala kritikan oleh penyokong Umno dan PH yang dilontarkan akan mempengaruhi keputusan beliau terhadap masa depan karier politiknya.

"BN kini sudah tewas dan dia (Khairy) dipecat.

“Tidak mungkin dia akan sertai Umno semula," kata Atory.

"Kini arena politik negara menyaksikan PN lawan PH yang turut dianggotai BN. Saya tidak rasa BN boleh menang sebagai pemerintah."

Menurut Atory, segala laungan oleh ahli Umno bahawa parti itu masih mempunyai kestabilan dan sokongan rakyat hanyalah sekadar propaganda.

Mengulas mengenai hasrat Khairy menjadi perdana menteri, Atory berkata, peluang itu dilihat lebih tinggi sekiranya beliau memegang jawatan menteri besar disokong dengan pengalamannya sebelum ini sebagai menteri Kabinet yang disandang sebanyak tiga kali.

Khairy sebelum ini pernah menjadi menteri belia dan sukan sebelum dilantik sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi dan menteri kesihatan.

"Dulu banyak negeri dianggap sebagai kubu Umno termasuk Negeri Sembilan.

"Tetapi satu per satu tumbang apabila sokongan Melayu sudah beralih sekali gus mencerminkan prestasi Umno yang semakin merosot.

"Kini sokongan melayu beralih kepada PAS dan Bersatu. Oleh itu, Khairy boleh raih sokongan Melayu jika menyertai PN," tambah beliau.

PRU15 yang berlangsung pada November tahun lalu menyaksikan PAS meraih kerusi Parlimen tertinggi apabila memperoleh 43 kerusi diikuti DAP (40), PKR (31), Umno (26), manakala Bersatu (31).

Malah, PRU15 turut menyaksikan kejutan apabila PN menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Terengganu, Kelantan dan Perlis serta berjaya merampas beberapa kerusi dianggap sebagai kubu kuat PH termasuk Permatang Pauh yang menjadi kerusi legasi keluarga Anwar Ibrahim.

Ramai menjangkakan gelombang PN akan berterusan pada pilihan raya negeri yang akan berlangsung dalam masa terdekat di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.