- Iklan -
Berita

Anak Hamzah akan fail representasi berhubung tuduhan libatkan minyak masak

Mahkamah menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 8(4) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 8(4) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Anak bekas menteri akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan mengemukakan invois penjualan minyak masak palsu dan memiliki minyak masak bersubsidi melebihi had yang dihadapinya.

Peguam Nasuha Badrul Din yang mewakili Muhammad Faisal Hamzah, 39, anak kepada bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Mazni Nawi hari ini.

Mahkamah menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi memaklumkan kepada mahkamah bahawa  pihaknya menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan untuk tindakan selanjutnya.

Pada 5 April  lepas, Faisal  dan rakan perniagaannya Azizul Abdul Halim, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan mengemukakan invois penjualan minyak masak palsu dan memiliki minyak masak bersubsidi melebihi had. 

Pada prosiding hari ini, Faisal tidak hadir ke mahkamah kerana cuti sakit.

Berdasarkan pertuduhan, mereka yang merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd iaitu syarikat pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak, didapati telah memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen atau invois penjualan minyak masak kepada dua kedai runcit di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri kira-kira pukul 5 petang pada 12 Ogos tahun lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 22(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 hendaklah disifatkan telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Syarikat itu yang diwakili mereka turut didakwa mengemukakan invois palsu dan memiliki minyak masak melebihi had 50 metrik tan, mengikut Peraturan 9(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat KPDN dan premis perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang kira-kira pukul 11.15 malam, 11 Ogos dan 5 petang, 12 Ogos tahun lepas.