- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen kerajaan cadang Suruhanjaya Koperasi bebas seperti SPR, SPRM

Ini kerana terdapat banyak perkara dan peruntukan di dalam suruhanjaya tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.

Seorang ahli Parlimen PKR mencadangkan Suruhanjaya Koperasi dijadikan sebuah fungsi bebas seperti peranan yang dibawa oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata ini kerana terdapat banyak perkara dan peruntukan di dalam suruhanjaya tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ini termasuklah lantikan ahli-ahli Lembaga Pengarah.

Situasi itu menunjukkan keberadaan Suruhanjaya Koperasi tidak ubah seperti satu lagi jabatan di bawah kementerian-kementerian yang lain. 

"Lantikan ahli-ahli lembaga, semuanya perlulah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri. 

"Perdana menteri mungkin boleh dapatkan nasihat daripada menteri berkenaan, barulah suruhanjaya dapat berfungsi dengan sebaiknya," katanya ketika membahas Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Koperasi pindaan tahun 2023. 

RUU berkenaan bertujuan meminda Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665) untuk menjelaskan pembahagian kuasa lembaga pengarah dan menyusun semula perjawatan dalam suruhanjaya. 

Sehingga kini, pentadbiran dan urusan harian suruhanjaya itu dijalankan oleh pengerusi eksekutif.

Menerusi cadangan pindaan, pentadbiran urusan dan hal ehwal harian suruhanjaya akan dijalankan oleh jawatan baru iaitu ketua pegawai eksekutif, manakala pengawasan pelaksanaan dasar pengerusi yang ketika ini dikenali sebagai pengerusi eksekutif.

Penyusunan baru ini juga turut mencadangkan dua jawatan baru iaitu timbalan ketua pegawai eksekutif dan setiausaha suruhanjaya.  

Mengulas lanjut, Hassan menegaskan fungsi Suruhanjaya Koperasi perlu diperkasakan kerana ianya akan menyumbang kepada kemajuan pergerakan koperasi di seluruh negara. 

Katanya, gerakan koperasi di Malaysia sememangnya wujud tetapi platform mereka tidak dikenali atas nama "koperasi".

Sebagai contoh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) juga di bawah penyeliaan kementerian namun tidak dikenali sebagai identiti koperasi yang bebas.

"Kalau nak tengok negara kita ni bebas, tak dicekam oleh kartel, monopoli puak-puak kapitalis yang menindas rakyat.

"Tapi kita hendak supaya sektor kerajaan, GLC, GLIC terlibat dan kita mahu antara kedua-dua itu muncul gerakan koperasi rakyat dalam kalangan rakyat."

Bagi mencapai hasrat itu, katanya, pemerkasaan Suruhanjaya Koperasi perlu diberi keutamaan dan pelaksanaan terlebih dahulu.