Ahli-ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) hari ini mempersoalkan mengapa tiada kesegeraan oleh pihak kerajaan dalam mengisi jawatan ketua audit negara yang dibiarkan kosong sejak empat bulan lalu.
Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata perkara ini perlu diberi perhatian dan keutamaan memandangkan banyak urusan kenegaraan tidak boleh dijalankan tanpa keberadaan jawatan itu.
Antaranya, kata beliau, Perkara 105,106 dan 107 dalam Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menyebut tugas dan peranan dipegang oleh ketua audit negara.
"Bukannya senang-senangnya diberi kepada pegawai menteri atau pegawai audit.
"Mereka tiada kuasa pun dalam Perlembagaan Persekutuan, yang ada kuasa adalah ketua audit negara.
"Bagaimana kita nak bincang perkara ini kalau ketua audit negara pun tak ada," katanya pada satu sidang media bersama semua ahli Parlimen PN di lobi Parlimen.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan berkata perkembangan itu menunjukkan kerajaan campuran sendiri seolah-olah takut untuk "diaudit" sehingga membiarkan jawatan tersebut kosong sehingga hari ini.
"Kita boleh katakan begitu."
Jawatan tersebut belum diisi sejak Nik Azman Nik Abdul Majid bersara pada 23 Februari lalu.
Nik Azman berkhidmat sebagai ketua audit selama empat tahun.
Sebelum persaraannya, Nik Azman berkata terdapat dua isu utama yang masih tertangguh membabitkan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pampasan tanah untuk jambatan kedua Pulau Pinang.
Ahli-ahli Parlimen PN mengadakan sidang media tersebut juga bagi mengulas tindakan kerajaan yang mencadangkan Rang Undang-undang (RUU) laporan ketua audit negara bagi tahun 2021 dibahaskan di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata mereka tidak dapat mengenal pasti apakah rasional tindakan kerajaan mahu membahaskan laporan tersebut.
Lazimnya, laporan ketua audit negara hanya "dibentangkan" melalui salinan laporan di atas setiap meja ahli-ahli Dewan Rakyat tanpa perlu dibahaskan.
"Kami membayangkan kemungkinan (kerajaan) tiada rang undang-undang yang ingin dibentangkan.
"Bila dah tak ada, takkan mahu tangguhkan persidangan dewan pukul 1?"
Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang berdiri dan mahu usul itu diterima tanpa dibahaskan sebagai tanda setuju.
Sebaliknya menyerahkan siasatan dan pembentangan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk tindakan yang sesuai.