- Iklan -
Berita

PN perlu ada ‘poster boy’ untuk Selangor, kata penganalisis

Menurut penganalisis, status Selangor sebagai negeri majmuk juga perlu diambil kira.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kereta melalui berhampiran deretan bendera Perikatan Nasional yang tergantung di Jalan Sungai Pusu, Gombak, Selangor.
Sebuah kereta melalui berhampiran deretan bendera Perikatan Nasional yang tergantung di Jalan Sungai Pusu, Gombak, Selangor.

Perikatan Nasional (PN) bercita-cita untuk merampas negeri paling kaya di Malaysia daripada Pakatan Harapan (PH) yang kini memasuki penggal ketiga pentadbirannya di Selangor.

PN sudah tentu mahu memanfaatkan momentum yang diperoleh gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, tetapi sehingga kini masih tidak menamakan calon menteri besar untuk “dijual” kepada pengundi Selangor.

Ini berbeza dengan Kedah dan Terengganu contohnya, yang mana PN mempunyai kelebihan sebagai penyandang kerajaan negeri.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mencipta gelombang popularitinya tersendiri manakala Menteri Besar Terengganu Ahmad Shamsuri Mokhtar yang lebih “pendiam” boleh dipromosikan pada PRN akan datang.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pensyarah sains politik daripada Universiti Islam Antarabangsa Rabiah Aminudin berkata, PN sememangnya perlu mempunyai “poster boy” mereka.

"PN perlu datang dengan calon MB mereka dan apakah polisi yang dicadangkan kepada orang Selangor.

"Selangor ialah negeri majmuk. Sesiapa yang mahu menawan Selangor tidak boleh bergantung kepada retorik kaum sebaliknya menunjukkan keupayaan mentadbir negeri kaya ini," katanya kepada MalaysiaNow.

Selangor, satu daripada enam negeri yang dijadualkan mengadakan PRN pada pertengahan tahun ini, mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kedua-dua PH dan PN melahirkan keyakinan membentuk kerajaan negeri selepas pembubaran DUN.

PN menyasarkan sekurang-kurangnya 33 kerusi manakala PH yakin mampu menawan 50 kerusi DUN.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia Kartini Aboo Talib berkata, Selangor secara umumnya sudah berasa selesa dengan menteri besar daripada PH sejak zaman Mohamed Azmin Ali yang kini menyertai Bersatu.

"Ini menjadi hambatan kepada yang masih memilih calon menteri besar yang paling layak untuk menandingi Amirudin Shari.

Amirudin yang juga bekas anak didik Azmin dilantik sebagai menteri besar pada 2018 selepas mentornya itu melepaskan jawatan tersebut selepas disenaraikan ke dalam Kabinet Persekutuan di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Terdapat spekulasi bahawa Azmin dikhabarkan mungkin mengetuai kempen PN pada pilihan raya negeri akan datang, dengan tujuan untuk mengangkatnya semula ke jawatan teratas di Selangor yang pernah disandangnya selama empat tahun, berikutan kegagalan strategi "Langkah Kajang" PKR pada 2014. 

Azmin baru-baru ini berkata meskipun beliau ingin melihat pemimpin muda mengambil alih tampuk kepimpinan, namun beliau akan menyerahkan semua keputusan kepada pimpinan PN.

Menurut Kartini, PN masih mempunyai masa dan berkemungkinan tampil dengan kejutan tersendiri.

Mengulas mengenai strategi yang boleh diaplikasi oleh PN, katanya gabungan itu boleh menggunakan agenda perubahan alam sekitar, banjir dan kemudahan awam.

"Paling utama ialah ketiadaan agenda Melayu dan Bumiputera dalam kerajaan perpaduan untuk meraih undi."

Bagi Rabiah, calon menteri besar dari PN sebaiknya seseorang dengan latar belakang teknokrat yang dilihat sebagai moderat.

"Kemungkinan untuk PN menubuhkan kerajaan di Selangor agak tipis tapi mereka berpotensi meningkatkan jumlah kerusi dalam DUN," katanya.

Menurut beliau mana-mana parti sebenarnya mampu menunjukkan pihak masing-masing mempunyai sumber untuk mentadbir dari segi kumpulan bakat, kemahiran dan ilmu.