- Iklan -
Berita

Mahathir masih bercakap kepada dunia meskipun hampir 98 tahun

Bekas perdana menteri berkata beliau masih menghadiri acara antarabangsa pada usia 97 tahun, dan tidak kurang juga ada yang memintanya untuk bersara.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil bahagian dalam sesi soal jawab di Kelab Wartawan Asing Jepun semasa lawatannya ke Tokyo pada 24 Mei. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil bahagian dalam sesi soal jawab di Kelab Wartawan Asing Jepun semasa lawatannya ke Tokyo pada 24 Mei. Gambar: AFP

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sibuk menekuni beberapa fail yang tersusun di atas meja dalam pejabatnya meskipun baru pulang dari Jepun sempena Persidangan Nikkei di Tokyo, Jepun kurang seminggu lalu. 

Beliau menjadi tetamu kepada persidangan tersebut sejak penganjuran kali pertamanya pada tahun 1995.

Tahun ini, kehadiran beliau sekali lagi mendapat perhatian apabila tular klip video menunjukkan negarawan itu disambut dengan tepukan gemuruh ketika hadir ke salah satu acara dalam persidangan berkenaan.

Mahathir memandang tinggi penganjuran persidangan tersebut yang disifatkannya dianjurkan oleh bukan calang-calang institusi sebaliknya pihak yang penting termasuk akhbar dan badan pemikir negara berkenaan.

Bercerita tentang lawatannya itu, Mahathir berkata beliau berucap kira-kira lebih satu jam pada setiap sesi yang dihadirinya dengan sesi soal jawab dengan penonton sangat aktif bertanyakan pelbagai isu.

Ini termasuklah permintaan mereka mengenai pandangan belas perdana menteri itu terhadap konflik perang antara Rusia dan Ukraine, isu kemiskinan global, kewangan dan lain-lain.

"Saya beri jawapan dan cadangan tentang Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang contohnya ada kuasa veto,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow di Putrajaya pada Rabu.

"Saya fikir satu badan yang ada kuasa veto tak layak untuk pertimbang masalah dunia.”

Menurut Mahathir, pemimpin-pemimpin dunia harus menjadikan pemimpin-pemimpin negara Asean sebagai contoh dalam menyelesaikan masalah umum dunia termasuk perubahan iklim, ekonomi dan kewangan.

Katanya, para pemimpin Asean bertemu setiap tahun untuk berbincang mengenai pelbagai konflik tanpa melibatkan perang dan pembunuhan dan proses yang penuh diplomasi itu sudah pun bertahan lebih 60 tahun.

"Negara akan hancur dan orang terbunuh kalau ada peperangan.

"Begitu juga dengan rundingan, ada masa kita akan kalah tapi tak ada yang terkorban." 

Ramai peminat dan ramai minta bersara

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang keghairahan pemimpin dan rakyat antarabangsa bertanyakan pandangan beliau sedangkan kedengaran suara-suara di Malaysia meminta beliau untuk "berehat", Mahathir tersenyum.

Beliau sendiri akui ianya sesuatu yang aneh apabila mendapati ramai hadirin pada persidangan tersebut bersungguh-sungguh mahu tahu apakah buah fikirannya mengenai sesuatu perkara.

Sedangkan, banyak pandangannya itu berbeza dengan pandangan umum dan tidak sama dengan pemikiran pemimpin dunia yang lain.

Bagaimanapun, beliau juga menyedari wujud segelintir pihak di Malaysia yang mahukan beliau berdiam diri dan tidak membuat sebarang ulasan.

Katanya, keadaan ini mengibaratkannya sebagai seorang yang tidak berguna.

"Sebaliknya negara-negara (luar) ini nak lihat jawapan saya berkaitan dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka.

"Di Malaysia, yang mereka minta untuk tanya bila saya nak bersara.

“Seolah-olah bosan dengan saya."

Tambahnya lagi, beliau memberikan pandangan dan pendapat sebagai seorang yang berpengalaman lebih 80 tahun dalam politik dan pernah menjawat jawatan tinggi dalam negara.

Menurut Mahathir, hasratnya dalam berkongsi pandangan bukan kerana mahu jadi perdana menteri buat kali ketiga tetapi atas dasar sayang dan cinta kepada negara.

"Kalau tak nak terima pandangan-pandangan saya, sekurang-kurangnya dengar (dahulu)."