- Iklan -
Berita

Pembebasan Zahid walaupun wujud kes prima facie ‘rekod dunia’, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri itu menulis kiriman sinis mengenai kes 'unik' itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini meneruskan kecamannya terhadap langkah membebaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada beberapa pertuduhan rasuah meskipun dibuktikan terdapat kes prima facie terhadapnya, menyifatkan ia sebagai "rekod dunia" bagi badan kehakiman Malaysia. 

Dalam satu kenyataan, bekas perdana menteri itu berkata hakim mempunyai hak untuk menentukan sama ada seseorang yang dituduh melakukan jenayah itu bersalah atau tidak, berdasarkan bukti.

"Dalam kes baru-baru ini, peguam negara memutuskan bukan sahaja untuk tidak membawa kes itu ke mahkamah tetapi beliau sebenarnya membuktikan bahawa wujud bukti kes prima facie yang menuntut defendan supaya membela diri. Dan hakim bersetuju," katanya.

"Kemudian tiba-tiba, peguam negara memutuskan untuk tidak meneruskan kes. Hakim tidak mempunyai pilihan selain melepaskan tertuduh. 

“Bagaimanapun, hakim memutuskan untuk tidak membebaskan tertuduh. Jadi keputusan hakim adalah lepas tanpa bebas.

"Ini bermakna tertuduh mungkin bersalah. Tetapi dia bebas. Ini unik. Mungkin tidak ada kes seperti itu di dunia. Badan kehakiman Malaysia telah mencipta rekod dunia.  

"Rakyat Malaysia patut berbangga. Atau patutkah mereka?"

Mahathir sebelum ini pernah menulis kenyataan sama dengan sindiran susulan keputusan Jabatan Peguam Negara menghentikan kes terhadap Zahid. 

"Bravo Malaysia. Badan kehakiman anda adalah yang terbaik di dunia," katanya pada 5 September.

Zahid, presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan kepada hakim permohonan Jabatan Peguam Negara.  

Zahid memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan yang diperlukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan selepas keputusan pilihan raya umum tahun lepas.

Anwar sendiri berulang kali menafikan campur tangan dalam langkah untuk memberikan DNAA kepada Zahid, mengatakan ia dibuat oleh peguam negara ketika itu Idrus Harun mengikut kuasa yang diberikan kepadanya dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Mahathir juga mengecam dakwaan baru-baru ini yang dikenakan terhadap ahli politik, mengatakan mereka kelihatan "secara eksklusif" ditujukan kepada pemimpin pembangkang. 

“Tetapi pertuduhan ditarik balik apabila orang terbabit adalah daripada kerajaan atau dalam kerajaan.

"Terdapat diskriminasi yang jelas di sini," katanya.