- Iklan -
Berita

Mungkin ada tawar menawar Anwar dengan Sabah, Sarawak, kata peguam

Rafique Rashid yakin keputusan menarik balik rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian tidak dibuat secara kebetulan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi

Keputusan terkini kerajaan campuran dan peguam negara menarik balik kes rayuan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan penganut agama Kristian dijangka memberi hak kepada Sabah dan Sarawak untuk menggunakan kalimah itu tanpa sekatan.

Peguam Rafique Rashid berkata, arahan ini sebagai satu langkah yang berbahaya memandangkan pengembangan apa-apa jenis doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang Islam adalah dilarang oleh Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi apabila ‘Allah’ boleh digunakan tanpa sekatan bukankah ianya boleh cetuskan persoalan?” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, apabila notis pemberhentian dalam kes penganut Kristian Jill Ireland oleh peguam negara, pada minggu yang sama didapati Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) turut menarik balik permohonan semakan kehakiman berhubung hak menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan dan amalan keagamaan Kristian pada 25 April lalu.

Menurut Rafique, keputusan itu amat menarik untuk diteliti kerana beliau yakin dan percaya keputusan tersebut dilihat tidak dibuat secara kebetulan.

“Saya melihat kepada kumpulan-kumpulan ini sebenarnya ingin menegakkan hak mereka dari segi negeri Sabah dan Sarawak untuk mengamalkan agama Kristian dan juga menggunakan perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu berkaitan dengan amalan-amalan mereka di sana.

“Pandangan saya adalah apabila kerajaan memerlukan sokongan daripada Sabah dan Sarawak untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya, saya merasakan akan ada beri dan terima dari segi hak-hak orang Kristian mengamalkan agama mereka di sana.

“Mungkin di situ ada tawar menawar untuk digunakan sesuatu kalimah dalam bahasa Melayu bagi pembelajaran orang-orang Kristian di Sabah dan Sarawak.”

Anwar Ibrahim dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) pada Selasa memaklumkan keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah adalah selari dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bilakah pertemuan bersama Agong dibuat sama ada sebelum atau selepas kerajaan menarik balik rayuan tersebut.

Pihak mana lebih penting?

Mengulas lanjut, Rafique juga mempersoalkan sikap kerajaan yang dilihat “kunci mulut” dalam tempoh sebulan sejak Pejabat Peguam Negara memfailkan notis itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 April lalu.

Lebih pelik, katanya, mengapa isu itu hanya timbul pada bulan Mei dan apakah alasan yang menyebabkan isu itu disimpan rapi oleh kerajaan selama sebulan?

“Apabila timbul ianya mengundang pelbagai reaksi. Menteri KDN tidak begitu jelas penerangannya.

“Katanya itu keputusan Kabinet, perlu kemas kini arahan pentadbiran.”

Beliau menegaskan dalam keseluruhan penghakiman langsung tidak dinyatakan larangan kalimah Allah hanya tidak terpakai pada negeri Sarawak.

Meskipun Jill ialah orang Sarawak tetapi rampasan cakera padat yang membawa kepada kes itu dirampas di LCCT 2, Sepang.
”Bagaimana pula hanya isu Sarawak? Dari mana PM10 dapat perkara ini?

“Sebelum ini Sultan Selangor, Sultan Johor, Majlis Agama Selangor, Johor dan Kedah jelas menyatakan perlu dirayu keputusan Jill Ireland ini. Persoalannya sekarang apa pendirian Kerajaan Madani?

“Apabila rayuan ditarik balik, maka jelas kerajaan tidak lagi minat tentang isu kalimah Allah,” katanya.

Rafique turut menyorot kembali kepada rentetan kes yang berlaku pada 1986 di mana Anwar pada masa itu berada di dalam kerajaan dan menganggotai satu jawatankuasa bersama-sama timbalan perdana menteri Abdul Ghafar Baba dan James Ongkili.

Menurutnya, mereka jugalah yang menentukan kalimah Allah, Kaabah, Baitullah, dan Solat tidak boleh digunakan dengan syarat di kulit luar dinyatakan perkataan “untuk agama Kristian”.

“Mengapa PM10 tidak pertahan perkara ini?

“Bukankah itu keputusan beliau juga? Atau PM10 juga mudah lupa?”

Tambahnya lagi, mana-mana kerajaan wajib pertahan struktur asas tersebut memandangkan agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

Ini juga bermakna, kalimah Allah itu satu dan hanya boleh digunakan oleh penganut Islam kerana maksud penggunaan kalimah Allah dalam fahaman penganut Kristian adalah tidak sama.

Atas sebab itu, beliau menegaskan keputusan kes Jill adalah terpakai kepada seluruh negara dan apabila ianya tidak dirayu maka ianya tidak boleh diketepikan sehingga kes lain dibawa ke mahkamah.

Pada perkembangan sama, Rafique turut mempertikai keberadaan tiga individu yang mengemukakan afidavit dalam kes Jill Ireland mengatakan mereka tidak terkeliru dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari dari DAP dan bekas ahli akademik Azmi Sharom.

Soalnya, adakah mereka bertiga itu sahaja sudah mencukupi untuk mewakili suara orang-orang Islam di Malaysia?

“Saya rasa tidak mencukupi kerana pada masa sama perlu ingat bahawa dalam prosiding kes Jill Ireland ini, pemegang-pemegang taruh yang lebih utama adalah majlis agama negeri-negeri dan sultan-sultan yang mempunyai bidang kuasa agama Islam di negeri-negeri dibenarkan mencelah dalam proses ini.”

Atas sebab itu, Rafique mencadangkan supaya orang ramai membuat pungutan suara atau referendum bagi menentukan siapakah dalam kalangan masyarakat massa yang benar-benar tidak memahami permasalahan ini dan siapakah yang merasakan keputusan kerajaan menarik balik rayuan sebagai langkah yang tepat.

Beliau tidak menolak dakwaan masih banyak pihak yang keliru dengan impak keputusan dari kes Jill yang jelas pada media sosial apabila ramai pengguna memberikan komen dan kenyataan yang tidak benar mengenai hal itu.

Katanya, kekeliruan itu pula berpunca tidak lain dan tidak bukan daripada Anwar sendiri apabila beliau menyatakan kes Jill hanya ada kaitan dengan Sarawak.

“Bacalah alasan penghakiman, memang tidak ada dinyatakan langsung dalam perenggan-perenggan itu bahawa Yang Arif Hakim kata isu ini hanya terpakai untuk Sarawak. Tiada.

“Bahkan kalau kita lihat kepada arahan KDN pada 1986 atau polisi Kabinet, ianya juga tidak menyebut langsung pada negeri mana tetapi menyatakan Malaysia iaitu pada seluruh negara.

“Dan pihak yang paling penting dan kena bercakap buat masa ini adalah peguam negara kerana dia adalah peguam oleh kerajaan dan individu yang memfailkan rayuan dan orang yang sama menarik rayuan.

“Jadi, peguam negara kena jawab dan buat penjelasan.”