- Iklan -
Berita

DUN Sabah lulus pindaan Perlembagaan negeri berkaitan antilompat parti

Pindaan itu menetapkan Adun yang bertukar parti akan kehilangan kedudukan dalam dewan dan terpaksa mengosongkan kerusi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor ketika membentangkan Rang Undang-undang antilompat parti di Dewan Undangan Negeri Sabah semalam. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor ketika membentangkan Rang Undang-undang antilompat parti di Dewan Undangan Negeri Sabah semalam. Gambar: Bernama

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang melarang wakil rakyat melompat parti.

Rang Undang-undang itu mendapat sokongan melebihi majoriti dua pertiga ahli dewan selepas ia bentangkan oleh Ketua Menteri Hajiji Noor hari ini, dengan 75 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyokong manakala empat Adun tidak hadir.

Berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Negeri Sabah, sebarang pindaan terhadap Perlembagaan memerlukan sokongan majoriti lebih dua pertiga daripada Adun Sabah pada bacaan kedua dan ketiga usul tersebut. 

Pada bacaan kali kedua rang undang-undang itu, Ketua Pembangkang DUN Sabah Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) bangun mencadangkan supaya undi belah bahagian bagi Fasal 2 rang undang-undang tersebut, iaitu fasal itu bertujuan menggugurkan Perkara 6 (7) dalam Perlembagaan tersebut.

Empat fasal dalam rang undang-undang itu diluluskan dengan suara terbanyak, manakala undi belah bahagian bagi Fasal 2 itu disokong 61 Adun yang bersetuju Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri digugurkan, 14 Adun tidak bersetuju, manakala empat Adun tidak hadir. 

Bagi bacaan ketiga rang undang-undang itu, seramai 75 Adun menyatakan sokongan manakala empat Adun tidak hadir.

Hajiji ketika menggulung perbahasan usul itu berkata rang undang-undang itu bertujuan menggugurkan Perkara 6(7) dalam Perlembagaan Negeri Sabah adalah kerana ia tidak lagi selaras dengan kehendak di bawah Perkara 6(3) berikutan situasi politik semasa.

Perkara 6(3) antara lain merujuk tentang Yang Dipertua Negeri Sabah melantik seorang Ketua Menteri yang merupakan seorang Adun negeri yang pada pertimbangannya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

Perkara 6(7) pula merujuk sebuah parti politik yang memenangi kerusi majoriti pada pilihan raya, ketua parti itu merupakan seorang Adun Sabah yang mempunyai kemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan. 

Mengulas lanjut, Hajiji berkata sejak Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, tiada sebuah parti politik yang memperoleh majoriti untuk mentadbir negeri dan sejak itu kerajaan negeri ditadbir oleh gabungan parti politik.

 “Tiada mana-mana parti menang kerusi majoriti dan kerajaan negeri jadi tergantung atau ‘hung government’, terjadi di negeri ini sejak 2018. Kerajaan negeri sejak 2018 adalah sebuah kerajaan gabungan, jadi ini tidak memenuhi kehendak Perkara 6(7) itu.

“Ini (pindaan) memudahkan TYT (Yang di-Pertua Negeri Sabah) membuat keputusan mengikut budi bicara, siapa dapat sokongan majoriti itu dan ruang TYT memikirkan kalau sokongan (sebuah parti) tidak melebihi 50 peratus itu bagaimana kedudukan gabungan dan sokongan wakil rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pindaan Perlembagaan hari ini tidak melibatkan Adun dilantik kerana mereka tersebut tidak dipilih pada pilihan raya oleh rakyat dan tidak mempunyai kawasan yang diwakili.

“Ia lebih kepada sering diperkatakan prinsip wakil yang telah dipilih oleh rakyat itu mengekalkan kepercayaan yang diberikan kepada rakyat kepada mereka. Maka pindaan ini melibatkan Adun yang dipilih rakyat dan bukan Adun dilantik,” katanya.

Sabah mempunyai seramai 79 Adun dengan 73 daripadanya dipilih manakala enam dilantik.