SPRM tak dapat sahkan dakwaan Anwar PN terima dana judi
Azalina Othman Said berkata agensi antirasuah itu medapati maklumat terlalu umum.
Terkini
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat mengesahkan dakwaan parti dalam Perikatan Nasional (PN) menerima sumbangan daripada dana judi pada pilihan raya umum tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pasir Mas dari PN, Ahmad Fadhli Shaari.
Azalina berkata agensi anti rasuah itu menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan yang dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya Disember lalu.
“Bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.
“Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya.
Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun membuat dakwaan itu pada 5 Disember tahun lalu.
"Sudah tentu dana itu akan digunakan untuk membiayai pilihan raya tetapi perlu menyemaknya," katanya dipetik The Malay Mail.
PN kemudian menyifatkan tuntutan itu sebagai "fitnah" dan berkata ia sedang mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang.
Pada Persidangan Dewan Rakyat sebelum ini Azalina berkata SPRM sedang mengkaji maklumat berkaitan sebagai asas untuk siasatannya, menjawab Fadhli yang bertanyakan status siasatan.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.