- Iklan -
Berita

Populariti Polis Evo 3 tarik perhatian di sebalik kegagalan filem angkat Anwar

Perbandingan dibuat penonton antara 'Polis Evo 3' dan 'Anwar: The Untold Story'.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail pada tayangan perdana 'Anwar: The Untold Story' di Kuala Lumpur, 8 Mei. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail pada tayangan perdana 'Anwar: The Untold Story' di Kuala Lumpur, 8 Mei. Gambar: Bernama

Filem aksi komedi Polis Evo 3 berjaya meraih kutipan tayangan awal sebanyak RM1.3 juta semalam, mengatasi tayangan filem “Anwar: Untold Story” dan filem-filem luar negara.

Ini menjadikan filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures itu berada di tempat pertama pada carta Top 10 GSC Malaysia bagi kutipan tertinggi semalam.

Filem arahan Syafiq Yusof itu ditayangkan secara rasminya di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Di Twitter, rata-rata penonton dan pengulas filem tempatan menjangkakan filem tersebut akan terus mendapat kutipan tertinggi seterusnya bakal menjadi filem “box office” di Malaysia bagi tahun ini. 

Sebelum ini, kerajaan berdepan kritikan apabila menggunakan penjawat awam dan murid sekolah dengan menawarkan tiket percuma filem propaganda yang menggambarkan perjalanan politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika era penghujung 90-an.

Tindakan ini dilakukan beberapa hari selepas penerbit menuduh pemilik pawagam mensabotaj filem tersebut berikutan sambutan suram orang ramai.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pengarah filem Al Jafree Md Yusop berkata sesebuah filem “box office” hanya boleh dicapai melalui kutipan tiket.

Jelasnya, istilah "box office" itu sendiri adalah merujuk kepada kaunter jualan tiket.

Bagaimanapun, cara mendefinisikan "box office" boleh jadi berbeza di beberapa negara lain.

Sebagai contoh, katanya, kelaziman yang diguna pakai bagi negara Eropah terutamanya Perancis tidak mengira berdasarkan kutipan tiket sebaliknya bilangan kehadiran penonton di pawagam.

"Misalnya di Malaysia dulu RM1 juta pun dah boleh dikira sebagai filem ‘box office’.

"Tetapi sekarang filem Mat Kilau dah tetapkan standard baru hingga RM90 juta kutipan," katanya merujuk kepada filem epik sejarah arahan Syamsul yang meraih kutipan hampir RM100 juta selepas 46 hari tayangan pada Jun tahun lalu.