- Iklan -
Berita

Miskin tegar berkurang sejak Disember, dakwa timbalan menteri

Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib berkata angka pengangguran negara juga menurun.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama

Persidangan Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar berdaftar telah berkurang daripada 124,744 kepada 118,217 bagi tempoh 15 Disember 2022 hingga 15 Mei lepas.

Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib berkata menurut data dinamik eKasih seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), ketua isi rumah miskin berdaftar pula berkurang daripada 304,911 kepada 299,080 dalam tempoh yang sama.

“Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) terkini yang diterbitkan adalah untuk 2019 ... insiden kemiskinan mutlak ialah 5.6 peratus dan insiden kemiskinan tegar ialah 0.4%.

“DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia) sedang memuktamadkan dapatan HIES dan BA 2022 yang dijangka diterbitkan pada suku ketiga 2023,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai kemajuan yang telah dicapai oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan menghapuskan kemiskinan tegar sejak enam bulan lepas. 

Hanifah Hajar berkata situasi pasaran buruh negara juga bertambah baik sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik dengan kadar pengangguran bagi Mac 2023 telah menurun kepada 3.5 peratus berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020.

Katanya, pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada 2022 telah membantu menyokong pemulihan dalam pasaran buruh.

Beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan pelbagai intervensi untuk menstrukturkan ekonomi negara dengan keperluan ekonomi rakyat berhubung menangani kemiskinan dan sebahagian daripada langkah membantu golongan miskin telah diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika Bajet 2023.

Antara langkah yang diumumkan ialah Sumbangan Tunai Rahmah kepada hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion; bantuan pelbagai subsidi kepada pesawah dan pekebun kecil dan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih dan Pakej Perpaduan Jalur Lebar.

Hanifah Hajar memberitahu sejumlah 82,892 peserta telah berdaftar untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang menumpukan kepada pengupayaan golongan B40 bagi meningkatkan potensi pendapatan secara mampan hingga 22 Mei lepas dan RM750 juta telah disediakan untuk 2023 bagi tujuan itu.