- Iklan -
Berita

Rayuan kes kalimah Allah bertentangan dengan keputusan Raja-raja Melayu, kata PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memenuhi arahan sepenuhnya oleh Raja-raja Melayu bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan sama sekali di Semenanjung.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan penganut agama Kristian adalah bertentangan dengan keputusan Majlis Raja-raja Melayu.

Dalam sesi soal jawab perdana menteri (PMQ), beliau berkata kerajaan memenuhi arahan sepenuhnya oleh Raja-raja Melayu bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan sama sekali di Semenanjung dan wujud kelonggaran bagi negeri Sabah dan Sarawak.

“Keputusan yang dibuat pada tahun 1986 tak pernah dipinda oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini sehingga kerajaan perpaduan nak pinda.

”Peguam negara berpendapat rayuan itu bertentangan dengan keputusan awal yang dibuat Raja-raja Melayu, sebab itu peguam negara mengambil keputusan demikian,” katanya di Parlimen.

Anwar berkata demikian bagi menjawab Ahli Parlimen Bagan Serai Idris Ahmad yang bertanyakan adakah pihak kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri terlebih dahulu sebelum kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah yang begitu besar implikasinya terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Pada 15 Mei, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membidas tindakan Putrajaya menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan menegaskan kerajaan Persekutuan bertindak secara unilateral tanpa merujuknya sebagai pihak berkepentingan dalam isu yang menjadi pertikaian.

Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof turut mempertikaikan dakwaan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution bahawa keputusan untuk menarik balik rayuan itu hanya berkaitan soal pentadbiran tetapi juga melibatkan perkara akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Sultan sebagai ketua agama negeri.

Mengulas lanjut, Anwar turut menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaannya tidak merujuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Majlis Raja-raja Melayu sebelum menarik balik rayuan terhadap kes tersebut.

Beliau menegaskan, pihaknya sudah merujuk dan mendapat nasihat Agong yang kemudian meminta kerajaan memastikan semua harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-raja, iaitu kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam di Semenanjung, namun kelonggaran diberikan bagi Sabah dan Sarawak.

Atas sebab itu katanya, keputusan Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu adalah selari dengan keputusan yang dinasihatkan oleh Agong dan Majlis Raja-raja Melayu.

“Sebab itu kita tamatkan (rayuan) dengan pinda semua peraturan supaya jelas dan tiada kes yang boleh dibawa ke mahkamah.

“Kita kemaskan kalau tidak kes akan bangkit lagi sebab ada percanggahan.”