- Iklan -
Berita

Pelawa PAS berdamai, isyarat Anwar gagal pikat sokongan Melayu, kata pemerhati

Mereka berkata, pertikaian mengenai penggunaan kalimah Allah juga akan menjejaskan sokongan kepada kerajaan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera PAS berkibar di jalan utama di Rusila, Marang, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 7 November 2022. Gambar: Bernama
Bendera PAS berkibar di jalan utama di Rusila, Marang, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 7 November 2022. Gambar: Bernama

Pelawaan untuk berdamai dengan PAS yang disuarakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, memberi isyarat bahawa kerajaan sudah hilang strategi untuk memikat sokongan Melayu, kata badan pemikir Iris Institute.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Iris Institute Syed Ahmad Israa' Syed Ibrahim berkata perkara ini jelas apabila majoriti sokongan Melayu terutama di kawasan luar bandar beralih kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, keadaan ini menunjukkan kerajaan pimpinan Anwar sememangnya sedar mereka kehilangan sokongan Melayu yang sangat besar sejak awal lagi.

"Saya setuju sekiranya berlaku perbincangan untuk PAS sertai usaha sama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), maknanya kerajaan sudah hilang strategi nak pikat sokongan Melayu," katanya kepada MalaysiaNow.

"Berdasarkan kepada PRU dulu, pengundi Melayu sebenarnya jelas dalam memberikan undi yang mana mereka mahukan orang-orang yang betul boleh membela nasib bangsa dan apa yang jelas termaktub dalam Perlembagaan seperti Islam dan hak Melayu."

Menurut Syed Ahmad Israa’, hala tuju kerajaan dalam memperjuangkan perkara itu dilihat kurang jelas, menyebabkan mereka sukar untuk meraih sokongan Melayu.

Malah, katanya, sekiranya PAS bersetuju untuk bersama kerajaan, mungkin parti itu juga tidak dapat mengubah situasi ini disebabkan komposisi dalam kerajaan yang dilihat bermasalah.

"Jika berlaku (kerjasama PAS dan kerajaan), mungkin pengundi Melayu pula akan kecewa dan akan tarik sokongan kepada mana-mana parti termasuk PAS, PH dan Umno," katanya.

Dalam pada itu, pemerhati politik Zin Mahmud, menjangkakan isu kalimah Allah yang heboh baru-baru ini juga dijangka akan memburukkan lagi persepsi terhadap kerajaan dan boleh menyebabkan sokongan Melayu semakin merosot.

Malah, katanya, isu itu kini dianggap sebagai "peluru percuma" kepada PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

"Ini memang akan kurangkan lagi sokongan orang Melayu terhadap kerajaan. 

“Malah, ia ibarat peluru percuma bagi PN," katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Sebelum ini, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan itu mendapat bantahan hebat dalam kalangan umat Islam di negara termasuk bekas mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Kemudian, Anwar memaklumkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran adalah khusus untuk Sarawak.

Namun begitu, Syed Ahmad Israa’ menganggap kenyataan itu adalah pelik apabila isu tersebut bukan sekadar tertumpu kepada Sarawak tetapi berlaku di Semenanjung yang mana ia diputuskan mahkamah meliputi seluruh Malaysia.

"Ini akan menjadi satu ujian litmus sama ada konsisten atau tidak ketegasan kerajaan sedia ada dengan sesuatu yang diputuskan melalui proses dan polemik yang panjang serta cukup jelas.

"Jadi agak peliklah berlaku flip-flop seperti ini dalam pihak kerajaan," tambahnya.