- Iklan -
Berita

Pencapaian Sukan SEA 2017 tidak realistik, kata Hannah Yeoh

Hannah Yeoh turut menyifatkan prestasi suram negara tahun ini didorong oleh ketidakstabilan politik yang berlaku dalam tempoh lima tahun lalu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika sidang media mengenai rangkuman prestasi Sukan SEA 2023, 19 Mei. Gambar: Bernama
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika sidang media mengenai rangkuman prestasi Sukan SEA 2023, 19 Mei. Gambar: Bernama

Pencapaian Malaysia yang muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017 adalah tidak realistik memandangkan ketika itu negara adalah tuan rumah kepada temasya sukan dwi-tahunan tersebut, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Justeru, beliau berkata, Malaysia tidak boleh anggap tahun itu sebagai pencapaian paling gemilang.

"Sukan SEA pada 2017 itu tidak realistik kerana kita adalah negara penganjur, jadi kita tak boleh kata 2017 adalah waktu paling gemilang," katanya kepada media.

"Tidak, (masa itu) kita adalah tuan rumah."

Sukan SEA 2017 menyaksikan Malaysia meraih 145 pingat emas, 91 perak dan 85 gangsa menjadikan negara ini sebagai juara keseluruhan.

Pada temasya edisi ke-32 kali ini yang dianjurkan di Kemboja, Malaysia hanya meraih 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, meletakkan negara di tangga ketujuh.

Pencapaian ini menunjukkan negara gagal mencapai sasaran yang ditetapkan untuk meraih 40 pingat emas.

Dalam pada itu, Yeoh yang juga ahli Parlimen Segambut berkata, prestasi suram itu didorong oleh ketidakstabilan politik yang berlaku dalam tempoh lima tahun lalu.

Katanya, selain prestasi ekonomi, sukan antara yang terjejas teruk daripada ketidakstabilan itu, sebelum beliau menekankan mengapa kerajaan memerlukan kestabilan mentadbir dalam tempoh lima tahun untuk bekerja dan membuahkan hasil.

"Selain daripada ekonomi, kita nampak (kesan) ini sekarang. Sukan adalah antara yang terjejas teruk akibat daripada ketidakstabilan

"Sebelum ini, ada menteri tak sampai satu tahun keluar, bajet nak menyusul, nak laksana strategi, tak boleh," tambahnya.

Sementara itu, Yeoh menjelaskan sasaran Malaysia di Sukan SEA bukan sekadar untuk meraih emas, sebaliknya melatih pelapis supaya mereka lebih bersedia bertanding di peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, jika emas menjadi sasaran utama, maka negara sudah tentu akan menghantar atlet terbaik.

"Tapi itu bukan matlamat kita. Saya hantar Lee Zi Jia untuk SEA Games, menang pun tiada makna kerana kita bukan mahu dia jadi sekadar terbaik di Asia Tenggara.

"Matlamat kita adalah untuk bangunkan pelapis.

“Justeru, kita hantar pelapis, mereka dapat pengalaman, kemudian kita teruskan dari situ," tambahnya.