- Iklan -
Berita

Kerajaan kemukakan cadangan kepada Majlis Raja-raja mengenai pertikaian kalimah Allah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Kabinet mendapat perkenan Agong untuk perkara ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Istana Negara di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Istana Negara di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Kabinet akan membentangkan cadangan kepada Majlis Raja-raja berhubung pertikaian keputusan menarik balik rayuannya terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Anwar dalam satu kenyataan hari ini berkata Kabinet menerima perkenan Agong untuk perkara ini.

“Ini bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-raja, dan pada masa yang sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya.

Awal minggu ini, Putrajaya mengumumkan bahawa kerajaan akan menarik balik rayuannya untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka. 

Mahkamah Tinggi ketika itu membuat keputusan memihak kepada permohonan semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland Lawrence Bill, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian.

Beliau memohon pengisytiharan mahkamah bahawa hak perlembagaannya dicabuli apabila Kementerian Dalam Negeri pada 2008 merampas CD dan buku agama Kristian menggunakan kalimah Allah di bawah Seksyen 9 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. 

Kerajaan di bawah perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Anwar berkata perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini.

“Kabinet mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014,” tambahnya. 

“Kabinet menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Agong pada 7 Februari yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

“Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.”

Tindakan Putrajaya menarik rayuan itu mencetuskan kritikan daripada umat Islam, manakala Muhyiddin berkata bahawa kerajaan sepatutnya membenarkan mahkamah menyelesaikan pertikaian itu. 

Semalam, Anwar mempertahankan keputusan menarik balik rayuan itu dengan berkata larangan ke atas orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah dalam bahan agama mereka masih kekal.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negeri itu adalah dilarang, selaras titah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 23 Mac 2021.

Beliau berkata ini selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada 2014, serta fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010.

“Kerajaan Selangor mengambil maklum penjelasan Kementerian Dalam Negeri dan perakuan berhubung enakmen negeri-negeri yang terkait dengan perkara ini dan menyatakan komitmen bahawa hak dan enakmen negeri khususnya yang melibatkan isu ini yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) akan terus dipertahankan. 

“Ini bermaksud perkembangan ini tidak akan menjejaskan atau mengancam pendirian kerajaan negeri berhubung penggunaan kalimah Allah. 

“Kerajaan negeri tegas melindungi kepentingan serta sensitiviti bahawa kepercayaan agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah dibina dan menjadi asas kepada Selangor.”