- Iklan -
Berita

Bersatu tawar keahlian, kedudukan kepada Khairy, kata Muhyiddin

Beliau mengulas kehadiran bekas menteri kesihatan itu di rumah terbukanya yang mencetuskan khabar angin mengenai hala tuju politik Khairy.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaludin.
Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaludin.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendedahkan beliau pernah menawarkan bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin menyertai Bersatu selepas pemecatannya daripada Umno.

Bekas perdana menteri itu berkata, meskipun Khairy belum memberi maklum balas, tawaran tersebut masih terbuka untuknya.

"Khairy ada jumpa saya lama dulu selepas beliau dipecat. Kita bincang secara terbuka tentang hala tuju dia (Khairy) dan harapan parti kita," katanya ketika mengulas kehadiran Khairy di rumah terbuka Aidilfitri anjuran bekas perdana menteri itu baru-baru ini.

Khairy yang juga bekas ahli Parlimen Rembau itu dipecat daripada Umno bersama-sama Ketua Umno Bahagian Tanjung Karang, Noh Omar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen pilihan raya November lalu.

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein turut digantung keahlian. 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum PRU15 menggunakan kuasa presidennya menggugurkan pencalonan beberapa tokoh lain antaranya Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim dan bekas ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa.

Khairy tewas PRU15 setelah dipindahkan dari kerusinya di Rembau ke Sungai Buloh, kubu kuat PKR yang dikekalkan oleh Ramanan Ramakrishnan.

Tindakan itu dibuat bagi memberi peluang kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan untuk bertanding.

Khairy masih tidak menyertai mana-mana parti politik dan kini aktif dalam podcast Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan yang digantung keahlian.

Muhyiddin berkata, Khairy tidak meminta sebarang jawatan namun beliau menawarkan bekas ketua Pemuda Umno itu kedudukan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

"Saya fikir dia faham pilihan raya di peringkat negeri sudah dekat. Tempoh masa sudah terhad jadi kalau Khairy boleh fikirkan baik-baik, inilah masanya," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Bersatu berharap Khairy dapat membantu membina kekuatan parti itu.

"Semua orang tahu apa yang berlaku dengan Umno, hampir hancur lebur. Rumah Umno dah jadi sarang DAP. Ini menghancurkan harapan sebahagian ahli-ahli Umno," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.