- Iklan -
Berita

Keputusan berkaitan kalimah Allah hanya khusus bagi Sarawak, kata PM

Katanya, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri yang kalah dalam kes tersebut sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (dua dari kanan) semasa sidang media pada majlis Sambutan Aidilfitri Madani, Masyarakat bersama polis peringkat Parlimen Tangga Batu di Tanjung Minyak, 16 Mei.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (dua dari kanan) semasa sidang media pada majlis Sambutan Aidilfitri Madani, Masyarakat bersama polis peringkat Parlimen Tangga Batu di Tanjung Minyak, 16 Mei.

Keputusan kes penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran adalah khusus untuk negeri Sarawak, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kalah dalam kes itu sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

"Ini khusus dalam kes Sarawak…ia tidak terpakai seperti di Melaka atau Pulau Pinang atau Selangor...itu kena faham," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Madani Masyarakat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat Tangga Batu di Tanjung Minyak di Melaka hari ini.

Semalam, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan itu, yang difailkan pada 18 April lepas, menyatakan bahawa kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland Lawrence Bill, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian.