- Iklan -
Berita

DUN Negeri Sembilan bubar hujung Jun, kata MB

Perkara itu telah dimaklumkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun bercakap kepada media di Seremban, 2 Februari. Gambar: Bernama
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun bercakap kepada media di Seremban, 2 Februari. Gambar: Bernama

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada hujung Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Menteri Besar Aminuddin Harun.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sikamat berkata keputusan itu dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan bersama menteri besar serta ketua menteri bagi negeri Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

"Kita sudah membuat keputusan pembubaran DUN itu nanti tidak sama hari dan tarikh tetapi dalam bulan yang sama dengan negeri yang lain.

"Ada (negeri) yang mungkin (bubar) awal iaitu hujung bulan ini, awal bulan Jun dan ada juga bubar hujung bulan Jun dan awal Julai. Kita akan ambil hujung bulan Jun, insya-Allah, mungkin 1 Julai itu hari terakhir,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan nama baharu bagi Jalan Sikamat kepada Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza di Seremban hari ini. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) memenangi 20 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala baki dimenangi BN.

Pada majlis hari ini Aminuddin berkata nama Allahyarham Syeikh Mohd Murtadza Syeikh Ahmad merupakan bekas Mufti negeri ini dan merupakan tokoh ulama yang dihormati dan disanjungi kerana sumbangannya dalam bidang agama dan masyarakat.

Katanya Jalan Syeikh Mohd Murtadza itu melibatkan 7.9 kilometer dari Jalan Pantai, Seremban sehingga Persimpangan Kem Askar Sikamat.

"Tujuan penukaran nama jalan ini bagi memperingati dan memberikan penghormatan kepada keluarga serta pengorbanan Allahyarham dalam memajukan syiar Islam di negeri ini," katanya.