- Iklan -
Berita

Tiada kerajaan campuran tanpa Zahid dan Umno, kata Anwar

Perdana menteri berkata komitmen dan sokongan Umno memastikan pembentukan kerajaan selepas PRU15.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama timbalannya Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan 2023 di Kuala Lumpur, 14 Mei. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama timbalannya Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan 2023 di Kuala Lumpur, 14 Mei. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada timbalannya Ahmad Zahid Hamidi dalam peranannya memastikan Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pakatan Harapan itu mengakui beliau dan  Zahid, yang juga Presiden Umno sering kali “diserang” ketika proses rundingan selepas tiada parti yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

“Tapi saya nak beritahu kalaulah tidak kerana komitmen Zahid selaku Presiden Umno, dan dukungan Ahli Parlimen Umno, sejarah kita tertutup. Jadi kita juga harus iktiraf peranan beliau dan Umno.

“Juga kalau daripada Yang di-Pertuan Agong sendiri, dalam keadaan kritikal itu, Premier Sarawak Abang Jo (Abang Johari Tun Openg) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi faktor penentunya," katanya dalam Amanat Perdana Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Kuala Lumpur hari.

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar memiliki sokongan daripada 148 Ahli Parlimen ketika ini, dengan 30 daripadanya merupakan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional. 

Konvensyen berkenaan dihadiri lebih 3,500 undangan daripada 19 parti yang membentuk kerajaan.