- Iklan -
Berita

Umno ganti Amanah dalam pembahagian kerusi PRN Selangor?

Timbul persoalan mengenai peranan Amanah sebagai 'penarik undi Melayu untuk Pakatan Harapan'.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Logo Amanah di ibu pejabatnya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Logo Amanah di ibu pejabatnya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pergolakan berlaku dalam rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan sekutu baharunya Barisan Nasional (BN) berikutan tekanan yang semakin meningkat terhadap Amanah untuk menyerahkan kerusinya kepada calon Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, MalaysiaNow difahamkan melalui sumber daripada parti komponen PH. 

Sekurang-kurangnya dua individu yang rapat dengan kepimpinan Amanah berkata langkah itu mengesahkan kebimbangan terhadap cubaan untuk menggantikan parti itu – dilihat sebagai komponen "Melayu" dan "Islam" PH – dengan Umno, musuh yang menjadi sekutu selepas memberi sokongannya dalam pelantikan Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tahun lalu.

Walaupun tekanan yang sama turut dirasai di sekurang-kurangnya empat negeri lain – Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pulau Pinang – namun di Selangor, di mana PH sehingga kini berada dalam keadaan selesa, Amanah mungkin paling terjejas disebabkan penjajaran semula politik itu.

Keselesaan itu berakhir pada pilihan raya lalu apabila kerusi majoriti Melayu menyaksikan peralihan kepada Perikatan Nasional (PN), malah kubu kuat Umno yang lama dipegang akan menuju ke arah gabungan baru itu.

Pemerhati berkata Selangor, negeri terkaya di Malaysia dengan perwakilan kaum yang berkadar mencerminkan penduduk negara, akan menjadi perhatian dalam kalangan enam negeri yang akan menjalankan PRN.

Ini terutamanya disebabkan Umno kini hanya perlu memberi tumpuan kepada calon Bersatu dan PAS, berikutan keputusan untuk bergabung dengan PH. 

Pada asasnya ia bermakna PH tidak akan bertanding di kerusi di mana Umno akan bertanding, terutamanya di kerusi majoriti Melayu. 

"Jadi kepimpinan PH mesti memutuskan antara dua: rakan setianya Amanah atau rakan barunya Umno. 

“Dengan Amanah masih gagal meraih sokongan daripada orang Melayu yang berfikiran pembangkang, terdapat petanda ia akan diketepikan untuk memberi laluan kepada Umno," kata seorang bekas Adun Selangor. 

Pada pilihan raya umum lalu, kecuali Hulu Kelang, Amanah banyak menang di kawasan pilihan raya di mana pengundi Cina membentuk lebih daripada 20%, jumlah yang cukup untuk mempengaruhi keputusan yang memihak kepada PH. 

Tetapi di Hulu Bernam, di mana orang Melayu yang membentuk 70% pengundi, Amanah tewas kepada Umno.

BN masih berjaya merebut empat kerusi di Selangor pada 2018, tahun gabungan itu disingkir dari Putrajaya.

Kemenangan BN berkemungkinan disebabkan perpecahan undi pembangkang antara PH dan PAS. 

PAS ketika itu enggan bergabung dengan PH, yang juga termasuk Bersatu sebagai alternatif kepada penyokong Umno yang tidak berpuas hati dengan Najib Razak dan skandal 1MDB. 

"Kini dengan penggabungan Bersatu dan PAS, dengan asas sokongan Melayu yang kukuh, mungkin akan berlaku lagi rampasan kerusi daripada BN dan PH seperti yang dilihat pada pilihan raya November lalu," kata seorang bekas calon Amanah di Selangor. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata hampir semua kerusi ini kini dituntut oleh Umno sewaktu rundingan, meninggalkan Amanah dengan kerusi di mana terdapat margin selesa pengundi Cina. 

"Ini pada asasnya bermakna Amanah tidak lagi dianggap sebagai penarik undi Melayu untuk PH, yang merupakan salah satu sebab utama parti itu ditubuhkan untuk menghentikan penghijrahan sokongan Melayu selepas PAS tidak lagi menjadi sebahagian daripada PH." 

Amanah ditubuhkan pada 2015 oleh kumpulan yang diketuai oleh Mohamad Sabu, tidak lama selepas beliau ditewaskan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PAS tahun itu.

Pengkritik sentiasa menganggap Amanah sebagai “boneka” DAP, memetik hubungan rapat Mohamad dan pemimpin parti lain dengan Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng. 

Ramai juga menunjukkan bagaimana DAP membenarkan Amanah bertanding di "kerusi selamat" bukan Melayu, termasuk Mohamad sendiri yang diberikan Kota Raja, kubu kuat DAP dengan hanya kira-kira 43% pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum 2018.

"Hakikatnya secara kosmetik, kemelayuan Amanah kini dipersoalkan, dan menggantikannya dengan Umno adalah bijak dan wajar dari segi politik jika PH mengekalkan apa jua bentuk sokongan Melayu," kata seorang ahli politik Umno Selangor yang berpangkalan di Petaling Jaya. 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri mencadangkan perkara ini secara samar-samar apabila ditanya mengenai perkembangan rundingan kerusi dengan PH. 

"Soal yang kami utamakan ialah bagaimana pembahagian kerusi itu bukan sahaja dibuat atas rasa kesaksamaan tetapi juga tentang kebolehmenangan.

“Kita merasakan bahawa bukan sahaja soal kemenangan, tetapi (juga) soal penerimaan pengundi dan ‘likeable’ seseorang calon, iaitu yang disukai dan sesuai dengan cita rasa pengundi di kawasan berkenaan,” katanya.