- Iklan -
Berita

Malaysia sedang berunding untuk bawa pulang Jho Low, kata Anwar

Perdana menteri berkata proses rundingan dengan negara lain adalah rumit.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low. Gambar: AFP
Ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low. Gambar: AFP

Malaysia sedang berunding dengan negara lain untuk mempercepatkan proses membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang dikehendaki kerana peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini. 

Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low telah didakwa di Malaysia dan AS atas pertuduhan menjadi dalang kecurian dana 1MDB berjumlah AS$4.5 bilion. 

Beliau bagaimanapun secara konsisten menafikan tuduhan yang dikenakan ke atasnya. 

Anwar memberitahu pemberita, Malaysia komited untuk membawa pulang Low secepat mungkin, menyifatkan proses rundingan dengan negara lain sebagai rumit. 

"Ia melibatkan banyak negara, ia melibatkan perkhidmatan perisikan, Interpol, dan sebagainya," kata Anwar. 

Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan negara yang terlibat dalam rundingan itu, dan enggan mengesahkan keberadaan Low. 

Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini berkata Low dipercayai berada di China, meskipun Beijing telah menafikannya.

Sekurang-kurangnya enam negara membuka siasatan terhadap 1MDB, dalam skandal yang telah menjerat institusi kewangan dan pegawai berpangkat tinggi di seluruh dunia. 

Bekas perdana menteri Najib Razak, yang mengasaskan 1MDB, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan berdepan beberapa perbicaraan lain berkaitan jenayah rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan skandal itu. 

Pada 2019, pihak berkuasa AS membuat perjanjian dengan Low untuk mendapatkan semula rekod AS$1 bilion dana yang didakwa dirompak daripada 1MDB, termasuk jet peribadi, hartanah mewah di Beverly Hills, New York dan London serta aset-aset lain.