- Iklan -
Berita

Kerajaan komited hidupkan prinsip masyarakat Madani menerusi media adil, berfakta

Anwar berharap media terus berkarya dan menjunjung prinsip-prinsip demokrasi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi komitmen dan tekad jelas kerajaan untuk menghidupkan prinsip masyarakat Madani menerusi media yang adil dan berfakta.

Beliau berkata demikian menerusi ciapan di Twitter sebagai mengulas laporan Reporters Without Borders (RSF) yang memaklumkan Malaysia yang kini berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berbanding tangga ke-113 tahun lepas. 

Kedudukan Malaysia itu meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.83 mata berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan 113 dengan 51.55 mata.

Dalam kalangan negara Asean, Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi, diikuti Thailand di kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).

Justeru, perdana menteri menerusi ciapan itu turut berharap media terus berkarya dan menjunjung prinsip-prinsip demokrasi.

Indeks berkenaan yang disiarkan di laman sesawang RSF, bertujuan membandingkan tahap kebebasan pengamal media di 180 negara dan wilayah seluruh dunia.