- Iklan -
Berita

Apa pandangan golongan muda tentang RTM?

Ada yang mengatakan ia sudah melepasi tahap kemuncaknya dan kerajaan boleh memilih platform yang lebih berkesan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menghadiri program bual bicara Naratif Khas RTM di Kuala Lumpur, 6 Januari. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menghadiri program bual bicara Naratif Khas RTM di Kuala Lumpur, 6 Januari. Gambar: Facebook

Sejak kecil Intan Suraya sering menemani kedua-dua ibu bapanya menonton program nyanyian klasik di siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV1.

Selepas lebih dua dekad berlalu, dia menemui dirinya masih melakukan rutin yang sama menyanyi lagu-lagu klasik bersama orang tuanya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Intan yang juga graduan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata sepanjang pengalamannya menonton RTM, dia tidak pernah merasakan dirinya rapat dengan "kempen-kempen" politik yang ditayangkan.

Sehingga kini, selepas kerajaan terbaru dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, dia merasakan siaran kempen politik di RTM lebih lemah.

Ini menyebabkan dia yakin dan percaya bahawa siaran-siaran RTM hanya sinonim untuk mereka yang berumur dan golongan tua seperti ibu bapanya.

"Apa yang ada pada siaran TV RTM? Saya suka tonton lagu klasik dan drama tema kekeluargaan.

"Dramanya bagus-bagus. Tapi tak lebih dari itu.

"Yang lain semuanya kaedah lapuk dan pendekatan yang digunakan sangat lama," katanya yang kini bekerja sebagai kerani data bagi syarikat kesihatan berpangkalan di Australia.

Mengambil contoh jenis-jenis iklan kempen atau program kerajaan dan video montaj yang disiarkan di RTM, Intan berkata tiada yang boleh menarik minatnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sesuatu program itu.

Paling ketara, hanyalah wajah Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi yang kerap kali muncul dalam selingan iklan.

Atas sebab itu, Intan berkata selari dengan idea reformasi nasional yang dibawa oleh kerajaan campuran seharusnya bermula dengan stesen penyiaran kerajaan seperti RTM.

Katanya, organisasi itu perlu menggunakan pendekatan yang lebih maju dan mesra terutamanya dalam usaha untuk mendekatkan golongan muda kepada rancangan televisyen kerajaan.

Dengan cara itu juga, kata Intan, stigma bahawa siaran RTM hanyalah mesin propaganda kerajaan dapat dikawal dengan baik kerana mendapat perhatian pelbagai pihak.

Dan bukannya semata-mata sasaran untuk kelompok tertentu.

Intan, 28 tahun juga merupakan antara jutaan belia di Malaysia yang dibuktikan oleh kajian, menghabiskan hampir seluruh masa mereka dengan melayari internet dan media sosial.

Di Twitter, lebih ramai anak muda yang sudah tampil mengkritik kaedah pengurusan siaran RTM sejak bulan pertama pentadbiran kerajaan campuran.

Dengan mengambil contoh info grafik yang dikongsi oleh RTM di media sosial, pengguna @EncikRichard berkata RTM semakin jelas menjadi alat propaganda kerajaan.

"Rancangan Fahmi Fadzil berjaya," tulisnya di Twitter pada 11 Disember tahun lalu.

Info grafik itu menulis tentang tanggungjawab rakyat yang harus menerima hakikat terhadap situasi pentadbiran negara ketika itu dan menggesa supaya suara-suara tidak puas hati dihentikan.

Hantaran itu turut disokong pengguna lain mengatakan cubaan kerajaan menggunakan naratif sedemikian adalah satu bentuk "pembodohan" dan tidak lagi relevan pada era digital sekarang.

"Apa bendalah kerajaan perpaduan. Istilah sains politik mana dia kutip ni?

"YB Menteri Komedi @fahmi_fadzil bangkitlah, tak berkesan lagi. Siapa nak percaya propaganda sebegini?" tulis pengguna @suffiakamari.

Kempen belum jelas

Dalam pada itu, seorang pelukis pelan menetap di Cyberjaya mahu dikenali sebagai Lukman berkata lebih malang apabila kerajaan tidak menjadikan sosial media sebagai laman baru untuk tujuan propaganda politik.

Ini kerana katanya, jika kerajaan berasa tidak yakin dengan kawalan stesen TV seperti RTM, mereka boleh beralih kepada media sosial yang sudah diketahui umum menjadi tempat tumpuan anak muda dan belia.

"Di RTM pun sendu. Di media sosial juga tak rancak.

"Ini akan nampak kesannya bila Pilihan Raya Negeri (PRN) tak lama lagi," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, dalam tempoh seminggu dia hanya meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk menonton siaran RTM sama ada di TV1 atau TV2.

Ianya bergantung kepada jenis program dan rancangan seperti nyanyian ataupun drama klasik era legenda P. Ramlee.

"Azan solat pun kita dengar kat telefon saja. Mana ada bergantung dengan RTM lagi.

"Zaman dulu mungkinlah," katanya.

Sementara itu, Intan bersetuju dengan Lukman mengatakan jika faktor media sosial diketepikan pada kempen PRN tidak lama lagi, atau tiada langsung penggunaan platform itu ketika berkempen ianya masih belum menjamin kerajaan semasa boleh mendapat sokongan anak muda.

Ini kerana, katanya, kempen kerajaan seperti jenama "Kerajaan Madani" masih belum jelas dan tidak difahami oleh rata-rata masyarakat.

"Kerajaan tak berjaya nak pupuk pun walaupun ada tayangan iklan dan kempen video di RTM atau radio-radio seliaan RTM."

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan tindakan mengawal kandungan siaran RTM dan stesen-stesen TV tempatan seolah-olah memberi gambaran kerajaan sedang berada dalam "ketakutan".

Ini terutamanya apabila melihat sokongan kuat orang Melayu kepada pihak pembangkang yang dianggap sebagai ancaman kepada kerajaan menjelang PRN yang dijangka berlaku dalam masa terdekat ini.