- Iklan -
Berita

PN bidas tindakan 'menjolok mata' Anwar anjur rumah terbuka Aidilfitri di 6 negeri PRN

Pakatan pembangkang menuduh kerajaan ‘menculik’ perayaan keagamaan atas alasan politik dan gagal mematuhi langkah penjimatan yang dicanangkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan tetamu di majlis Madani di Sungai Petani, 14 April. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan tetamu di majlis Madani di Sungai Petani, 14 April. Gambar: Bernama

Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan keperluan Putrajaya menganjurkan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan di enam negeri yang dijadual mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam beberapa bulan akan datang.

Menurut gabungan itu, tindakan sedemikian bukan sahaja menunjukkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim “menculik” perayaan keagamaan untuk tujuan politik tetapi juga gagal mematuhi langkah-langkah penjimatan yang sering dicanangkan.

Pakatan pembangkang berkata acara rumah terbuka Aidilfitri bersiri yang turut mengetengahkan perdana menteri juga melanggar konvensyen dan adab hubungan antara kerajaan persekutuan serta negeri, sambil menambah bahawa kedua-dua parti harus mengetahui bidang kuasanya dalam menganjurkan acara tersebut.

“Dalam konteks ini, tindakan melangkahi sempadan hormat dan adab antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua belah pihak,” kata Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan bahawa ia menganjurkan beberapa siri rumah terbuka Aidilfitri dengan Anwar sebagai tetamu utama di tiga negeri yang dikuasai PN iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, dengan tiga lagi acara seumpama itu akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. 

Semua enam negeri itu akan mengadakan PRN tahun ini dalam apa yang boleh menjadi masalah besar terhadap kerajaan Anwar, berikutan kehilangan sokongan orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum tahun lepas yang menyaksikan kedua-dua gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kalah teruk di kerusi majoriti pengundi Melayu.

Putrajaya juga mengumumkan bahawa Kedah akan menjadi lokasi rumah terbuka Aidilfitri peringkat kebangsaan utama, satu langkah yang dilihat sebagai sebahagian daripada serangan pesona Anwar untuk memenangi kembali sokongan kritikal di kawasan Melayu. 

Takiyuddin berkata tindakan untuk membawa sambutan Aidilfitri peringkat Persekutuan ke negeri-negeri yang bakal mengadakan PRN menyaksikan penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan “kerana motif politiknya sudah tidak boleh disorok lagi”.

Katanya, keputusan untuk menganjurkan sambutan Aidilfitri secara berlebih-lebihan sangat berlawanan dengan penyataan dasar dan komitmen kerajaan untuk berjimat-cermat dan menghapuskan salah urus kewangan serta pembaziran.

“Kata-kata hanya akan membawa makna dan kesan sekiranya ia disusuli dengan langkah dan tindakan yang sama dan senada, bukan sebaliknya,” tambahnya.

Takiyuddin berkata menganjurkan sambutan secara berlebih-lebihan dan keterlaluan memperlihatkan bahawa ia hanya “menjolok mata dan tidak wajar dipertahankan”.

“Ini kerana ia tidak lagi boleh dipisahkan daripada motif politik dan persaingan pengaruh menjelang PRN yang bakal berlaku beberapa bulan sahaja lagi.

“Retorik basi dan sumbang kononnya PAS dan sekarang ini PN adalah parti yang 'menunggang agama' untuk tujuan politik nampaknya kini berbalik kepada pihak Kerajaan Pusat sendiri yang 'menculik' majlis penting tahunan Islam itu bagi mencapai matlamat kuasanya.