- Iklan -
Berita

Anwar terima kunjungan Michelle Yeoh di Putrajaya

Perdana menteri mengucapkan selamat maju jaya kepada anak seni itu pada masa hadapan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Michelle Yeoh (kiri) dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kanan) bergambar dengan piala Oscar di pejabatnya di Putrajaya hari ini. Gambar: Facebook
Michelle Yeoh (kiri) dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kanan) bergambar dengan piala Oscar di pejabatnya di Putrajaya hari ini. Gambar: Facebook

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kunjungan pemenang anugerah Oscar kelahiran Malaysia Michelle Yeoh di pejabatnya di Putrajaya hari ini. 

Anwar berkata dalam pertemuan itu Yeoh atau Michelle Yeoh Choo Kheng, 61, berkongsi dan mengimbau kisah suka dan duka perjalanan hidupnya, terutama dalam mencapai tingkat kejayaannya hari ini. 

“Beliau (Yeoh) turut menitip pesan bahawa kejayaan gemilang anugerah Oscar itu cukup bermakna bagi dirinya, keluarga dan juga rakyat Malaysia seluruhnya,” katanya dalam Facebooknya, hari ini. 

Perdana menteri turut memuat naik gambar pertemuan berkenaan dengan Yeoh dilihat turut membawa trofi kemenangan kejayaan merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik di acara Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023) baru-baru ini.

Anwar menyifatkan pencapaian Yeoh yang menjadi rakyat Malaysia dan warga Asia pertama memenangi Anugerah Oscar, berjaya mengangkat nama negara di persada antarabangsa dan mengucapkan semoga anak seni kelahiran Ipoh itu terus maju jaya dan beroleh kejayaan. 

Yeoh disanjung dengan anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi peranan utama bagi filem 'Everything Everywhere All at Once' pada majlis anugerah paling berprestij Hollywood itu di Teater Dolby di Los Angeles, 12 Mac lepas.

Yeoh kini berada di Malaysia untuk meraikan kejayaannya bersama keluarganya dan peminat di tanah air.

Selain anugerah Oscar, Yeoh turut memenangi anugerah kategori sama di beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe ke-80 dan Anugerah Screen Actors Guild (SAG).