- Iklan -
Berita

Mustahil pengampunan Najib bukan pendirian Kabinet, kata peguam

Seorang peguam memetik konteks politik dalam usaha Umno untuk mendapatkan pengampunan, manakala seorang lagi berkata tiada pendirian sebulat suara boleh dicapai memandangkan sifat kerajaan yang bercampur-campur.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Putra Perdana di Putrajaya yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.
Bangunan Putra Perdana di Putrajaya yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.

Kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa isu pengampunan Najib Razak bukanlah pendirian kerajaan kini dipersoal berdasarkan beberapa perkara berbangkit termasuk keberadaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Lembaga Pengampunan dan desakan “rakan kongsi” kerajaan campuran yang mahukan bekas presiden Umno itu diberikan pengampunan penuh.

Peguam Rafique Rashid memberitahu, dari segi undang-undang ianya tidak boleh dinafikan bahawa salah seorang ahli yang akan duduk menilai, membuat keputusan dan memberi nasihat kepada Yang Di Pertuan Agong berkenaan pengampunan diraja adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Wilayah Persekutuan kerana kes Najib dibicarakan di dalamnya.

“Jadi, dalam Lembaga Persekutuan Kuala Lumpur, sudah tentu peguam negara ada, Tuanku Agong ada dan lebih penting lagi adalah menteri yang jaga wilayah.

“Siapa menteri yang ‘incharge’ menteri wilayah? Tidak ada menteri yang khusus jaga Kementerian Wilayah Persekutuan tapi ianya akan diambil alih oleh Jabatan Perdana Menteri iaitu perdana menteri sendiri,” katanya kepada MalaysiaNow.

Seterusnya, kata Rafique perlu diingatkan berkenaan pendirian kerajaan, pendirian Pakatan Harapan (PH) dan juga pendirian Umno memandangkan kedua-kedua gabungan parti politik itu kini sudah menjadi pakatan dalam kerajaan campuran di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Rafique mempersoalkan sama ada Umno akan menggunakan pendekatan berdiam diri dan menyatakan tidak perlulah beri pengampunan kepada Najib sedangkan Majlis Kerja Tertinggi pada awal bulan lalu sudah sebulat suara menyokong penuh usaha untuk mengampunkan bekas presiden parti itu.

“Umno merupakan sebahagian daripada kerajaan Anwar yang juga sebahagian daripada kerajaan Anthony Loke, jadi bagaimana Loke boleh menyangkal bahawa ini bukan pendirian kerajaan sedangkan rakan kongsi mereka dalam kerajaan sendiri iaitu Umno menyokong penuh pengampunan ini.

“Anthony Loke harus berhenti main politik dan harus sedar bahawa sebenarnya jelas sekarang ini kerajaan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim memang hendak membantu Umno kerana Umno membantu Anwar untuk ‘set up’ kerajaan.”

Loke yang juga setiausaha agung DAP baru-baru ini menegaskan isu pengampunan Najib tidak pernah dibawa berbincang ke Kabinet dan ianya menjadi pendirian Umno sebagai sebuah parti politik sahaja.

Ada apa dengan Anwar dan Lembaga Pengampunan?

Dalam pada itu, peguam kanan Haniff Khatri Abdulla pula melihat kenyataan Loke sebagai satu komen yang menunjukkan kematangan dan menyifatkannya sebagai satu pandangan yang “sihat” melalui dua sudut.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata pertamanya, ianya menujukkan mereka faham bahawa kerajaan atau mana-mana anggota menteri tidak ada kuasa pun dalam pengampunan kerana ianya kuasa mutlak di bawah bidang kuasa Agong.

Keduanya, ianya “sihat” kerana Loke juga sedar bahawasanya kerajaan campuran ini tidak boleh membuat pendirian secara bersepakat kerana kerajaan yang tertubuh selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sama dengan siri PRU terdahulu khususnya selepas PRU13.

Ini kerana mereka yang menjadi kerajaan selepas PRU13 menang pilihan raya dengan majoriti sekaligus menubuhkan kerajaan yang membentuk kepada satu pakatan utama.

“Jadi, mereka boleh ada pendirian.”

Bagaimanapun keadaan berubah selepas PRU14 apabila kejatuhan kerajaan PH kemudiannya kejatuhan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, sejak itu negara tidak memiliki satu kerajaan yang boleh membuat keputusan dan pendirian kerana mereka sekadar kerajaan yang dibentuk secara campuran bersama Umno dan sebagainya.

Seterusnya, Haniff turut menyentuh tentang keberadaan Anwar di dalam Lembaga Pengampunan menyifatkan pemimpin itu tidak berada di sana disebabkan keinginan dan hasratnya sebaliknya sudah tertakluk di dalam Perlembagaan Malaysia.

“Ini bukan soal Anwar tapi menteri wilayah yang kena duduk dalam tu.

“Jika kita ambil contoh Anwar, kita tak nampak, kita lebih nampak ianya bersifat politik.”

Tetapi, katanya, contoh lain boleh dilihat semasa pengampunan Anwar pada Mei tahun 2018.

Ketika itu kerajaan PH baru sahaja ada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan jemaah menteri belum dilantik.

Pada masa itu juga sudah diwartakan, sementara menunggu pembentukan kerajaan maka perdana menteri merangkap semua jawatan menteri.

Atas sebab itu, kata Haniff, Mahathir berada dalam Lembaga Pengampunan kepada Anwar atas sabitan kes liwat.

“Bukan Tun (Mahathir) nak duduk pun tapi Perlembagaan yang cakap. Kalau pada masa itu menteri wilayah iaitu Mahathir tak duduk dalam Lembaga Pengampunan jadi ianya tidak dibentuk secara sah di bawah Perlembagaan.

“Sekarang yang penting, adakah Anwar mempunyai kepentingan?”

Menurut Haniff, apabila peruntukan dalam Perlembagaan meletakkan seseorang dalam satu kedudukan soal kepentingan atau konflik kepentingan menjadi nombor dua. Pertama, seseorang itu kena ikut terlebih dahulu undang-undang.

Seterusnya, adakah Anwar mendapat tekanan selepas MKT Umno sudah membuat ketetapan untuk menyokong usaha pengampunan Najib memandangkan kerajaannya mendapat sokongan Umno.

Sebelum ini, berapa pemimpin veteran PH termasuk Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengingatkan Anwar bahawa kerajaannya akan berdepan masalah besar sekiranya Najib diberikan pengampunan diraja yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas rasuah berhubung kes SRC International.