- Iklan -
Berita

Polis rampas dadah bernilai RM4.5 juta, tahan lelaki disyaki pengedar

Baki anggota sindiket yang masih bebas itu sedang giat dikesan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman. Gambar: Bernama
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman. Gambar: Bernama

Polis merampas dadah seberat 123.2 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan menahan seorang lelaki disyaki pengedar dalam operasi khas di Cheras dan Selangor pada hari Jumaat dan Sabtu lepas.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman berkata lelaki berumur 29 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Cheras, dan selepas diperiksa polis menemukan 114 kg dadah jenis syabu di dalam kereta jenis Toyota Vellfire milik suspek.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah kondominium di Ampang yang disewa suspek pada 15 April, dan hasil pemeriksaan pihaknya merampas 1.8 kg ekstasi; 1.3 kg eramin 5; 3 kg ketamin dan 3.1 kg syabu.

“Ujian saringan awal polis mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan itu sebagai pendapatan utama.

“Polis percaya suspek mendapatkan bekalan dadah dari utara Semenanjung dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan ahli-ahli sindiket yang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini. 

Yahaya berkata modus operandi kegiatan pengedaran dadah itu adalah dengan menjadikan rumah “gated and guarded” dan kereta mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu untuk menampung penggunaan seramai 750,000 orang. Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.