- Iklan -
Berita

Kerajaan akan rungkai semula perjanjian penyelesaian AS$3.9 bilion dengan Goldman Sachs

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pasukan petugas kerajaan yang meneliti isu 1MDB sedang merungkai perjanjian 2020 dengan bank pelaburan itu.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Goldman Sachs di New York, 17 April 2019. Gambar: AFP
Ibu pejabat Goldman Sachs di New York, 17 April 2019. Gambar: AFP

Kerajaan sedang merungkai semula perjanjian penyelesaian AS$3.9 bilion (RM17.25 bilion) yang dicapai antara pentadbiran terdahulu dan bank pelaburan Amerika Syarikat (AS), Goldman Sachs berhubung skandal kewangan 1MDB, lapor Bernama semalam. 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pasukan petugas kerajaan yang meneliti isu 1MDB sedang merungkai perjanjian 2020 dengan Goldman, sambil menambah bahawa ia adalah soal mendapatkan semula dana awam, lapor Bernama.

“Saya bersetuju (dirungkai semula), kerana dari awal saya anggap perjanjian ini dibuat secara gopoh gapah, maka ia timbulkan banyak persoalan... kerana kita harus diberi banyak,” Anwar dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Pihak berkuasa Malaysia dan AS menganggarkan kira-kira AS$4.5 bilion telah dicuri daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, dalam skim merentas dunia yang membabitkan pegawai kerajaan dan perbankan peringkat tinggi di Malaysia dan tempat lain. 

Goldman telah membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion dalam dua tawaran bon, memperoleh sendiri AS$600 juta dalam bentuk yuran, menurut Jabatan Kehakiman AS. 

Sejak memegang jawatan November lalu, Anwar telah berusaha untuk merungkai semula keputusan kerajaan terdahulu mengenai 1MDB dalam usaha untuk mendapatkan balik wang yang digelapkan daripada dana itu. 

Pada Februari, Abu Dhabi's International Petroleum Investment Co dan unitnya Aabar Investments PJS bersetuju untuk membayar Malaysia sebanyak AS$1.8 bilion sebagai penyelesaian kepada pertikaian undang-undang berasingan mengenai 1MDB. 

1MDB menjadi subjek utama siasatan rasuah dan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara. 

Bulan lalu, bekas pegawai bank Goldman Roger Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh mahkamah AS, selepas disabitkan bersalah membantu merompak berbilion dolar daripada 1MDB.