- Iklan -
Berita

Dakwa Anwar gagal kemuka bukti, Mahathir teruskan saman

Peguamnya berkata jawapan Anwar Ibrahim terhadap surat tuntutan itu hanya sekadar menafikan semua tuntutan dengan alasan perdana menteri akan menjawabnya di mahkamah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir Mohamad akan meneruskan saman terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan beliau mengumpulkan kekayaan untuk diri dan keluarganya, kata peguam kepada bekas pemimpin itu hari ini.

Rafique Rashid berkata jawapan kepada surat tuntutan Mahathir telah diterima daripada peguam Anwar semalam.

“Surat jawapan tersebut sekadar menafikan segala tuntutan tanpa sebarang keterangan atau bukti diberikan dengan alasan Anwar akan menjawab tuntutan di Mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

“Di atas jawapan yang diterima, Mahathir telah mengarahkan firma guaman kami untuk meneruskan tindakan lanjut undang-undang terhadap Anwar”.

Pada 28 Mac, Mahathir memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar untuk menarik balik tuduhannya terhadap beliau yang dibuat semasa Kongres PKR pada 18 Mac lalu.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya, Mahathir menyifatkan kenyataan yang dibuat Anwar pada Kongres PKR itu sebagai "fitnah yang teruk".

“Saya beri masa tujuh hari untuk tarik balik dan lakukan bahawa dia tak berjaya tunjuk bukti apa yang disebutkan.”

Difahamkan, tempoh itu kemudiannya dilanjutkan kepada dua minggu.

Anwar dalam ucapannya antara lain berkata "ada orang" yang memimpin negara "selama 22 tahun ditambah 22 bulan" kini bercakap mengenai nasib orang Melayu.

“Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. 

“Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat,” kata Anwar.

Mahathir berkata perdana menteri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa bukti yang jelas.