- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi manusia gesa kerajaan ambil tindakan ke atas sentimen anti-Rohingya dalam talian

Lawyers for Liberty berkata ini akan menjadi usaha lebih baik berbanding bertindak terhadap pengkritik kerajaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar siaran media sosial mengenai komuniti Rohingya di Malaysia.
Tangkap layar siaran media sosial mengenai komuniti Rohingya di Malaysia.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) mengecam sebarang gesaan sesetengah pihak supaya melakukan keganasan terhadap pelarian Rohingya seperti yang tersebar di media sosial.

Mereka turut menggesa kerajaan supaya campur tangan bagi melindungi kumpulan pelarian tersebut daripada sebarang bentuk ancaman fizikal.

LFL juga mempersoalkan sikap berdiam diri kerajaan dalam isu itu "walaupun desakan untuk memantau laman media sosial", sambil mengatakan siasatan nampaknya tertumpu kepada mereka yang mempersoalkan integriti kerajaan. 

"Rohingya adalah kumpulan yang mudah terdedah kepada bahaya. Mereka adalah pelarian yang terpaksa meninggalkan negara kerana bimbang akan ancaman keselamatan nyawa mereka, tanpa dokumen tanpa kewangan yang stabil kerana tidak dapat bekerja, yang kini bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan gangguan daripada pihak penguatkuasa yang tidak bertanggungjawab, tetapi mesti juga menangani sentimen xenofobia yang semakin meningkat daripada penduduk. 

“Terdapat risiko jika sentimen ini tidak dipadamkan, mereka akan berdepan ancaman yang nyata oleh individu yang tersilap melihatnya sebagai ancaman kepada masyarakat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan. 

Malaysia menjadi “rumah sementara” kepada lebih 100,000 Rohingya dari Myanmar yang melarikan diri daripada tindakan kejam di negara mereka.

LFL menganggarkan kira-kira 58% daripada 182,990 pelarian dan pencari suaka daripada komuniti itu yang kini berada di negara ini.

"Walaupun Malaysia tidak mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951, namun kita membenarkan pelarian tinggal di negara ini atas dasar kemanusiaan," kata pengarah LFL Zaid Malek.

“Kerajaan sudah lama menjalinkan kerjasama dengan UNHCR dalam memudahkan pencari suaka dan pelarian untuk tinggal di negara ini. 

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi keselamatan semua pencari suaka dan pelarian di Malaysia atas dasar kemanusiaan yang sama, kerana jika tidak maka kita hanya akan terus memberi ancaman kepada mereka yang melarikan diri dari negara asal."

Zaid berkata naratif ini tidak boleh dibiarkan berterusan sambil menambah bahawa pelarian "bukannya musuh asing".

"Kerajaan mesti campur tangan untuk menyekat kempen yang tersebar secara dalam talian untuk memburuk-burukkan komuniti Rohingya, bagi melindungi mereka daripada ancaman bahaya," katanya.

“Kandungan xenofobia yang keterlaluan dan seruan kepada keganasan yang mesti ditangani dengan pantas oleh Kementerian Komunikasi dan Digital. 

"Sekiranya ia menyebabkan risiko kecederaan fizikal, polis mesti campur tangan dan tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab. Usaha ini akan lebih berbaloi daripada membelanjakan sumber untuk memburu individu yang kononnya mencalarkan reputasi dan integriti kerajaan."