- Iklan -
Berita

AGC bantah permohonan semakan kehakiman Zuraida untuk diisytihar presiden PBM

Mahkamah akan memutuskan keputusan mengenai bantahan AGC itu pada 11 Mei.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
Bekas ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Zuraida Kamaruddin untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah.

Peguam Persekutuan M. Kogilambigai dalam hujahnya, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pertikaian dalam PBM adalah perkara dalaman untuk diselesaikan pihak terlibat.

“Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu kerana klausa penyingkiran di bawah Seksyen 18C dalam Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Peguam Mohamed Ashmeer Ashrof yang mewakili Zuraida, berhujah bahawa pertikaian itu telah diselesaikan dan notis telah dihantar kepada RoS pada Oktober tahun lepas.

“Bagaimanapun, RoS tidak mengiktirafnya sebagai presiden parti," katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, hakim Amarjeet Singh menetapkan 11 Mei untuk penjelasan lanjut dan menyampaikan keputusannya mengenai bantahan AGC itu.

Zuraida, 65, yang memfailkan permohonan itu pada 24 Mac dan menamakan RoS sebagai responden tunggal, memohon pengisytiharan bahawa tindakan RoS mengekalkan Larry Soon @ Larry Sng Wei Shen sebagai presiden PBM adalah tidak sah dan memohon perintah mandamus untuk mengarahkan RoS mengiktiraf beliau sebagai presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober 2022.

Bekas Ahli Parlimen Ampang itu dalam afidavit sokongannya berkata beliau menerima surat daripada PBM pada 27 Okt 2022, memaklumkan pelantikannya sebagai presiden PBM.

Bagaimanapun, Zuraida berkata beliau menerima surat daripada parti itu bertarikh 19 Disember tahun lepas yang menyatakan Sng mengisytiharkan dirinya sebagai presiden PBM dan menggantung keahliannya (Zuraida).

Bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata beliau mengetahui mengenai pemecatannya daripada PBM melalui portal berita The Star pada 27 Disember 2022, namun tidak pernah menerima sebarang notis, surat atau makluman daripada parti itu mengenai pemecatannya.