- Iklan -
Berita

Zuraida fail tindakan undang-undang mohon RoS iktirafnya sebagai presiden PBM

Dalam permohonan tersebut, beliau memohon deklarasi bahawa tindakan RoS mengekalkan Larry Sng sebagai presiden PBM adalah tidak sah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
Bekas ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Zuraida Kamaruddin memfailkan tindakan undang-undang untuk memohon Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengiktirafnya sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida, 65, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap RoS sebagai responden menerusi Tetuan Ashmeer Ashrof di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 24 Mac lepas.

Dalam permohonan tersebut, bekas ahli Parlimen Ampang itu memohon deklarasi bahawa tindakan responden mengekalkan Larry Soon @ Larry Sng Wei Shein sebagai presiden PBM adalah tidak sah selain memohon perintah mandamus mengarahkan RoS mendaftar atau mengiktirafnya sebagai presiden PBM berkuat kuasa dari 7 Oktober 2022.

Menerusi afidavit sokongan, beliau berkata menerima surat daripada PBM pada 27 Oktober 2022 yang memaklumkan mengenai pelantikan beliau sebagai Presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober 2022.

Bagaimanapun, Zuraida berkata beliau telah menerima surat daripada parti berkenaan bertarikh 19 Disember lepas yang menyatakan Soon mengisytiharkan diri sendiri sebagai Presiden PBM dan menggantung keahliannya. 

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata beliau mengetahui mengenai pemecatannya daripada PBM melalui portal berita The Star pada 27 Disember 2022, namun tidak pernah menerima sebarang notis, surat atau makluman daripada parti itu mengenai pemecatannya.

“Memandangkan YB (Yang Berhormat) Larry Soon dikekalkan oleh responden sebagai presiden PBM, tiada keperluan bagi PBM untuk mematuhi Fasal 14 di bawah perlembagaannya untuk memecat saya. Pemecatan saya yang tidak sah ini telah mendapat siaran media dan ini mengakibatkan kerosakan teruk kepada imej politik saya.

“Saya percaya bahawa sekiranya responden telah mendaftarkan saya sebagai Presiden PBM setelah menerima surat tersebut, saya tidak mungkin boleh dipecat secara tidak berpelembagaan,” kata Zuraida dalam afidavit itu.

Sementara itu, peguam Mohamed Ashmeer Ashrof yang mewakili Zuraida ketika dihubungi berkata permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Amarjeet Singh esok.