- Iklan -
Berita

Mahkamah perintah Zuraida bayar RM10 juta kepada PKR

Beliau telah melanggar ikatan yang mengikatnya dengan parti itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama
Bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Hakim Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat.

Mahkamah juga memerintahkan Zuraidah untuk membayar kos RM50,000.

Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR  Saifuddin Nasution Ismail pada 28 September 2020 untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya dengan parti itu.

Kenyataan tuntutan PKR mengatakan bahawa Zuraida telah menandatangani bon RM10 juta berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan. 

Hakim Akhtar yang menyampaikan keputusan itu melalui prosiding secara dalam talian, berkata hujah Zuraida bahawa beliau menandatangani bon itu dalam keadaan dures atau paksaan adalah tidak berasas.

“Bukti menunjukkan beliau menandatangani bon itu dengan pengetahuan penuh mengenai kandungannya dan menandatanganinya secara sukarela yang beliau mahu bertanding dalam pilihan raya itu atas tiket PKR,” katanya.

Hakim seterusnya berkata dakwaan Zuraida bahawa jumlah RM10 juta itu tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan tersebut, adalah tidak berasas dan merupakan tindakan selepas pemikiran semula.

“Ini kerana defendan (Zuraida) sendiri telah mengakui bahawa plaintif telah membelanjakan jumlah melebihi RM10 juta untuk pencalonan itu.

“Ini adalah pengakuan yang jelas di pihak defendan bahawa dia tidak boleh tarik balik. Mahkamah selanjutnya memutuskan RM10 juta itu adalah jumlah yang munasabah kerana bon itu adalah untuk menghalang ahli terutamanya calon yang dipilih, bertindak bertentangan dengan kepentingan parti pada masa pilihan raya,” katanya.