- Iklan -
Berita

Zuraida gagal dapat kebenaran mohon RoS iktirafnya sebagai presiden PBM

Keputusan itu dibuat atas alasan mahkamah tidak boleh mendengar apa-apa pertikaian dalaman parti politik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
Bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Zuraida Kamaruddin gagal mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengiktirafnya sebagai presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Hakim Amarjeet Singh menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Ampang itu atas alasan mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 iaitu mahkamah tidak boleh mendengar apa-apa pertikaian dalaman parti.

“Berdasarkan seksyen itu juga mahkamah turut terikat dengan keputusan dibuat oleh mahkamah yang lebih tinggi berhubung isu berkenaan,” kata hakim itu.

Prosiding hari ini dihadiri Peguam Persekutuan M. Kogilambigai dan peguam Mohamed Ashmeer Ashrof yang mewakili Zuraida.

Pada 12 April lepas, Jabatan Peguam Negara membantah permohonan Zuraida untuk mendapatkan kebenaran mahkamah dengan alasan seksyen itu menetapkan bahawa keputusan membabitkan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu atau dipersoalkan oleh mahkamah. 

Zuraida, 65, yang memfailkan permohonan itu pada 24 Mac dan menamakan RoS sebagai responden tunggal, memohon pengisytiharan bahawa tindakan RoS mengekalkan Larry Soon @ Larry Sng Wei Shen sebagai presiden PBM adalah tidak sah dan memohon perintah mandamus untuk mengarahkan RoS mengiktiraf beliau sebagai presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober 2022.

Zuraida dalam afidavit sokongannya berkata beliau menerima surat daripada PBM pada 27 Oktober 2022, memaklumkan pelantikannya sebagai presiden PBM.

Bagaimanapun, Zuraida berkata beliau menerima surat daripada parti itu bertarikh 19 Disember tahun lepas yang menyatakan Soon mengisytiharkan dirinya sebagai presiden PBM dan menggantung keahliannya (Zuraida).

Bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata beliau mengetahui mengenai pemecatannya daripada PBM melalui portal berita The Star pada 27 Dis 2022, namun tidak pernah menerima sebarang notis, surat atau makluman daripada parti itu mengenai pemecatannya.