- Iklan -
Berita

Kalau jatuhkan saya kerana lawan rasuah, silakan, kata Anwar di sebalik usaha bebaskan Najib, Zahid

Perdana menteri berkata beliau bersedia untuk memerangi mereka yang merompak kekayaan negara tetapi tidak merujuk secara spesifik mana-mana pihak.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap di Ipoh, 10 April. Gambar : Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap di Ipoh, 10 April. Gambar : Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau bersedia menanggung akibat dalam memerangi pemimpin terlibat rasuah, tanpa merujuk secara spesifik terhadap mana-mana pihak berhubung perkembangan terkini berkaitan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara. 

Anwar berkata beliau tidak akan berkompromi dalam memerangi pemimpin yang merompak kekayaan negara.

“Itu tekad saya, senang susah saya hadapi. Kalau nak jatuhkan kerana saya lawan rasuah, silakan, tetapi saya tidak akan bertolak ansur daripada bersihkan negara ini dan selamatkan bangsa kita dan negara kita daripada tindakan orang yang merompak kekayaan negara," katanya dipetik Bernama ketika berucap pada majlis berbuka puasa di kawasan Parlimennya di Tambun.

Kenyataan ini dikeluarkan ketika kritikan semakin memuncak mengenai percubaan baru oleh pemimpin Umno bagi mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara atas tuduhan rasuah SRC International melibatkan puluhan juta ringgit. 

Sementara itu, perbicaraan rasuah melibatkan Presiden Umno, Zahid yang memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan partinya kepada Anwar untuk dilantik sebagai perdana menteri tahun lalu, ditangguhkan semalam selepas timbalan pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa mereka diarahkan untuk tidak membantah permohonan oleh pihak pembelaan. 

Mahkamah juga diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan "siasatan lanjut" terhadap bukti baru apabila peguamnya menghantar surat representasi kepada peguam negara untuk menggugurkan 47 pertuduhan terhadapnya. 

Ia susulan beberapa hari selepas pendedahan mengejutkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) Azalina Othman Said memberitahu peguam Najib mengenai status siasatan SPRM terhadap hakim Nazlan Ghazali yang mensabitkan bekas pemimpin itu pada 2020. 

Dalam surat itu, Azalina mengesahkan memaklumkan kepada peguam Muhammad Shafee Abdullah bahawa SPRM mendapati Nazlan mempunyai konflik kepentingan ketika mempengerusikan kes itu. 

Berita mengenai pendedahan itu menimbulkan kemarahan aktivis masyarakat sivil dan peguam, yang turut mengkritik sikap berdiam diri peguam negara.

"... Peguam negara sendiri adalah bekas hakim Mahkamah Persekutuan dan pastinya menyedari kesan buruk daripada sikap berdiam diri beliau terhadap badan kehakiman dan kesucian pentadbiran keadilan," kata kenyataan bersama peguam.

Mereka juga mempersoalkan sikap berdiam diri Anwar ketika sekutu politiknya menyerang hakim tersebut.

"Badan kehakiman, sebuah institusi yang penting dalam negara, salah satu tonggak demokrasi kita, sedang diserang dan perdana menteri hanya berdiam diri," tulis bekas duta Malaysia Dennis Ignatius. 

"Apakah tiada kemarahan moral daripada individu yang sentiasa melaungkan tadbir urus yang baik? Adakah perdana menteri tiada masalah dengan konspirasi untuk memfitnah hakim dan menjejaskan badan kehakiman?" 

Semalam, seorang ahli Parlimen dari PKR memberi amaran sebarang tindakan perdana menteri untuk menyokong permohonan Najib dan Zahid akan membawa akibat buruk kepada pentadbirannya pada pilihan raya negeri akan datang. 

Anwar dan peguam negara adalah sebahagian daripada ahli Lembaga Pengampunan yang akan mempertimbangkan permohonan pengampunan untuk Najib. 

Penganalisis berkata apa sahaja keputusan rayuan itu akan memberi kesan kepada kerajaan Anwar, yang memerlukan sokongan daripada Umno untuk terus berkuasa.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.