- Iklan -
Berita

Bolehkah Najib dibebaskan menjelang Aidilfitri?

Proses pengampunan pantas yang membebaskan Anwar Ibrahim pada 2018 mungkin berulang.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

Bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara boleh dibebaskan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang berdasarkan pengalaman terbaru mendapatkan pengampunan diraja bagi ahli politik yang sealiran dengan parti pemerintah, kata sekurang-kurangnya dua peguam yang terlibat dalam proses rumit itu. 

Isu ini timbul di sebalik perdebatan mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong berikutan terdapat petunjuk paling jelas oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau adalah sebahagian daripada ahli Lembaga Pengampunan, badan yang sama memendekkan hukuman penjaranya kurang seminggu selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018. 

Seorang peguam yang mengetahui tentang proses permohonan "tempoh lama dan rumit” memberitahu MalaysiaNow bahawa "kesan politik" akibat daripada sebarang kegagalan untuk mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib akhirnya akan menjadi faktor kritikal, mengingatkan situasi sama lima tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PH) bersetuju menjadikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. 

"Persetujuan itu (untuk melantik Mahathir) hadir dengan janji untuk memastikan pengampunan diraja untuk Anwar, mengambil maklum kuasa dan pengaruh besar yang digunakan oleh jawatan perdana menteri dalam perkara seperti itu," kata sumber PKR yang biasa dengan perbincangan melibatkan pemimpin Bersatu dan PKR menjelang Pilihan Raya Umum 2018.

Beliau berkata selepas permohonan rasmi difailkan, sebarang kegagalan Najib mendapatkan pengampunan akan membawa kesan sama sekiranya Anwar tidak lama dulu juga gagal dalam usaha mendapatkan pengampunan.

"Ia boleh menyebabkan kerajaan berusia seminggu itu runtuh. Jadi walaupun komposisi Lembaga Pengampunan yang samar-samar pada Mei 2018, pengampunan Anwar telah diluluskan dalam tempoh yang begitu singkat," tambahnya.

Anwar dibebaskan dari penjara pada 15 Mei 2018, hanya lima hari selepas Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri bagi kerajaan baru PH, yang ketika itu turut disertai Bersatu.

Anwar pada ketika itu sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas sabitan liwat membabitkan seorang pembantu di pejabat partinya. 

Susulan parlimen tergantung pada pilihan raya tahun lalu, Umno memberikan sokongan kepada  Anwar, sekali gus membolehkan presiden PKR itu mencapai cita-citanya untuk dilantik sebagai perdana menteri.

"Sebarang tindak balas negatif terhadap permintaan tunggal Umno ini akan mendorong kepada kejatuhan kerajaan Anwar, kerana ia akan mengundang kemarahan akar umbi Umno yang masih bersimpati dengan Najib," kata satu sumber dalam Umno yang arif dengan usaha terkini mendapatkan pengampunan untuk Najib.

Penganalisis sejak kebelakangan ini berkata Umno tidak henti-henti berusaha membina semula sokongannya menjelang enam pilihan raya negeri, lima daripadanya dengan majoriti pengundi yang disasari parti itu.

Umno mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah pada pilihan raya umum tahun lalu, dengan sebahagian besar kawasan majoriti Melayu beralih kepada Perikatan Nasional (PN). 

"Umno mesti membuktikan kepada akar umbi bahawa kerjasamanya dengan PH dan Anwar berbaloi. Jika tidak dapat membebaskan Najib, ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran," tambah sumber itu.

Hasil untuk ditunjukkan 'dalam beberapa hari' 

Sementara itu, seorang bekas ahli Parlimen PKR berkata kemungkinan Najib mendapat pengampunan adalah "sangat kuat", dan boleh berlaku hanya beberapa hari selepas Umno menghadap Agong.

"Seperti 2018, hasilnya akan dapat dilihat dalam beberapa hari sahaja. Hasrat untuk mengadap Agong adalah sebahagian daripada tekanan kepada Lembaga Pengampunan. Tidak mengejutkan jika beliau sempat keluar untuk berhari raya di Pekan," katanya kepada MalaysiaNow, merujuk kepada kubu kuat dan kawasan Parlimen yang pernah disandang Najib.

Beliau juga berkata sikap berdiam diri pemimpin tertinggi PH dalam menghadapi kritikan masyarakat sivil dan aktivis berhubung usaha membebaskan Najib "memberi petanda tentang apa yang akan berlaku".

"Selain Muhyiddin dan pemimpin PN, tiada siapa yang menyuarakan bantahan. Dan Anwar sendiri tidak menyatakan kebimbangan bahawa seorang individu yang bersalah atas skandal yang menjadi tajuk utama berita di seluruh dunia boleh dibebaskan selepas menjalani kurang daripada 10% hukumannya, kecuali untuk mengatakan bahawa itu terpulang kepada Agong" tambahnya, merujuk kepada pengerusi PN Muhyiddin Yassin.