- Iklan -
Berita

PM jawab isu vape, pegawai perubatan kontrak, lawatan ke China di Dewan Rakyat

Anwar Ibrahim akan menjawab soalan-soalan tersebut pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat bagi sesi ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Hainan bagi menghadiri Forum Boao sempena Persidangan Tahunan Asia 2023 sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi empat hari beliau ke China, 29 Mac. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Hainan bagi menghadiri Forum Boao sempena Persidangan Tahunan Asia 2023 sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi empat hari beliau ke China, 29 Mac. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menjawab persoalan berkaitan produk cecair bagi kegunaan alat rokok elektronik atau vape serta perkhidmatan pegawai perubatan secara lantikan kontrak, pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan laman rasmi Parlimen, persoalan mengenai justifikasi tindakan kerajaan menyahsenaraikan produk cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952 akan diajukan Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat).

Selain itu, Ahmad Yunus juga ingin tahu berhubung pertimbangan kerajaan tentang implikasi negatif penyahsenaraian produk cecair dan gel nikotin itu.

Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) pula bertanya mengenai jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam serta implikasi kewangan yang terlibat sekiranya semua anggota kesihatan itu diserap masuk dan seterusnya dilantik secara tetap.

Sementara itu, Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengemukakan soalan mengenai hasil positif lawatan Perdana Menteri ke China baru-baru ini, dari segi ekonomi dan peluang pelaburan serta manfaat yang rakyat Malaysia peroleh kelak.

Kesemua soalan berkenaan dikemukakan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. 

Selesai sesi itu, menteri di Jabatan Perdana Menteri dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023, masing-masing bagi bacaan kali pertama.

Kemudian, persidangan diteruskan dengan Perdana Menteri juga dijadual mengemukakan usul dengan mencadangkan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) dan Wong Shu Qi (PH-Kluang), masing-masing dipilih sebagai Pengerusi dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara bagi Majlis Parlimen Ke-15.

Selain itu, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, serta Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023, turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat untuk bacaan kali kedua.

Pada 28 Februari lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 ditambah dua hari lagi iaitu pada 3 dan 4 April, menjadikan tempoh bersidang keseluruhan selama 31 hari.

Keputusan itu dibuat bagi membolehkan beberapa rang undang-undang dan urusan kerajaan dapat dibentang dan diputuskan di Dewan Rakyat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.