- Iklan -
Berita

Berdepan tuduhan rasuah, Zahid akan 'memalukan' Malaysia di luar negara, kata diplomat veteran

Bekas duta Malaysia Dennis Ignatius juga membidas DAP, mengatakan rakyat tidak akan tertipu dengan mempertahankan lantikan politiknya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama timbalannya Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di Putrajaya pada 5 Disember lalu. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama timbalannya Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di Putrajaya pada 5 Disember lalu. Gambar: Bernama

Seorang diplomat veteran Malaysia memberi amaran bahawa keputusan memulangkan semula pasport antarabangsa Ahmad Zahid Hamidi akan menjejaskan usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menonjolkan pentadbirannya sebagai bebas rasuah.

Dennis Ignatius, yang kali terakhir berkhidmat sebagai duta Malaysia ke Kanada, berkata timbalan perdana menteri dilihat hanya meneruskan agenda peribadinya semata-mata dan bukannya berusaha untuk membantu kerajaan Anwar.

Beliau berkata dengan pelbagai pertuduhan rasuah yang dihadapi Zahid, presiden Umno itu akan menjadi suatu yang memalukan ketika mewakili pentadbiran Anwar di luar negara.

"Mesej apa yang akan disampaikan kepada dunia apabila timbalan perdana menteri sebuah kerajaan yang kononnya komited terhadap tadbir urus yang baik dan memerangi rasuah sendiri menghadapi pelbagai tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa?" tulis Ignatius di blognya.

Minggu lalu, Zahid yang berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan yayasan kebajikan, berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan semula pasportnya secara kekal, selepas Mahkamah Rayuan membenarkannya bagi tujuan menjalankan tugas rasminya di luar negara.

Selepas pilihan raya umum tahun lepas yang menyaksikan Parlimen tergantung, Zahid memainkan peranan penting dalam membawa sokongan semua ahli parlimen Barisan Nasional (BN) terhadap Anwar walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kanan yang merujuk kepada pendirian Umno menentang kerjasama dengan Anwar dan parti komponen Pakatan Harapan (PH), DAP.

Ignatius berkata Anwar tidak lama lagi akan berdepan masalah kerana Zahid terbukti menjadi dalang kepada usaha menggoncang kestabilan kerajaan negeri demi mengukuhkan pengaruhnya dalam Umno.

Beliau memetik peranan dimainkan Zahid ketika "orang kuatnya" di Sabah cuba menggulingkan kerajaan negeri, serta menggantikan ketua menteri Melaka baru-baru ini.

"Apa yang menjadi keutamaan Zahid ketika beliau terus menjejaskan kestabilan politik yang cuba disatukan oleh perdana menteri?” soal Ignatius.

Beliau juga mengkritik Setiausaha Agung DAP Anthony Loke kerana membenarkan beberapa siri pelantikan politik ke badan kerajaan, yang menyaksikan sekutu Zahid menerajui agensi penting seperti Mara dan Felcra.

"Loke dan yang lain mungkin berhempas pulas untuk mewajarkan pelantikan dilakukan Zahid tetapi rakyat tidak begitu mudah tertipu.

“Apa yang mereka lihat hanyalah ahli politik yang berkomplot dan tidak berprinsip yang tidak boleh dipercayai untuk menunaikan janji mereka dan memenuhi cita-cita sendiri," tambahnya. 

Beliau berkata Anwar perlu mengekang Zahid, tetapi ia akan menimbulkan masalah.

"Sudah tentu, Anwar memerlukan Zahid dan Umno untuk mengekalkan majoriti yang stabil di Parlimen.

“Untuk mengekalkan Zahid di sisi, perdana menteri mungkin merasakan beliau perlu memberi Zahid bebas dan memberinya kelonggaran termasuk keputusan mencurigakan oleh RoS untuk membantu Zahid tidak dicabar dan langkah mengejutkan Pejabat Peguam Negara untuk tidak membantah permohonan Zahid untuk memulangkan semula pasportnya," tulis Ignatius.

Beliau merujuk kepada keputusan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution melangkaui arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) kepada Umno supaya mengadakan pengundian bagi dua jawatan tertinggi parti itu.