- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Pendang diarah keluar Dewan Rakyat selepas dakwa menteri ‘berbohong’ isu tanah rizab Melayu

Timbalan Speaker Alice Lau mengeluarkan arahan supaya Awang Hashim keluar sekurang-kurangnya bagi tempoh satu jam.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim beredar dari Dewan Rakyat, 8 Mac. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim beredar dari Dewan Rakyat, 8 Mac. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim dari Perikatan Nasional (PN) diarah keluar Dewan Rakyat hari ini selepas mendakwa Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad "berbohong" kepada ahli dewan berhubung tanah rizab Melayu menurun di Kedah. 

Timbalan Speaker Alice Lau mengeluarkan arahan supaya Awang keluar sekurang-kurangnya bagi tempoh satu jam. 

Ketika berbahas sesi bacaan kali kedua rang undang-undang, Awang membaca butiran dokumen oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah yang menafikan Kedah mengalami penurunan tanah rizab Melayu. 

Beliau menegaskan fakta yang dikemukakan oleh menteri itu salah, tidak tepat dan sekali gus berbohong kepada semua ahli-ahli Parlimen. 

Kenyataan itu kemudiannya mencetuskan kekecohan apabila Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng meminta beliau menarik balik perkataan "bohong" tersebut terhadap Nik Nazmi.

"Saya tak nak tarik balik sebab dia bohong," katanya.

Beliau turut mendakwa menteri itu mempunyai niat jahat terhadap kepimpinan negeri Kedah sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang salah dan berbeza dengan fakta sebenar dikeluarkan oleh pejabat tanah.

Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan negeri itu merupakan negeri yang paling banyak hilang tanah rizab Melayu.

Beliau dilaporkan berkata, naratif itu sengaja dimainkan untuk membina persepsi bahawa Kedah akan mengalami kerugian sekiranya mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Minggu lalu, Nik Nazmi memberitahu sebanyak tiga negeri melibatkan Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan penurunan jumlah tanah rizab Melayu antara tahun 2021 dan 2022.

"Jumlah tanah rizab Melayu di Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar.

"Manakala Perak 953,42.67 hektar kepada 953,40.87 hektar dan Kuala Lumpur daripada 1,003.56 hektar kepada 999.48 hektar,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Nik Nazmi, secara keseluruhannya jumlah tanah rizab Melayu tidak berkurangan dan kerugian yang dicatat juga bukan dalam jumlah yang besar.