- Iklan -
Berita

Apa rakyat dapat jika Anwar masuk Kaabah? soal ahli Parlimen PH

Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan mempertahankan lawatan rasmi perdana menteri ke Arab Saudi terhadap pengkritiknya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, menghadiri majlis berbuka puasa di Arab Saudi, 23 Mac. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, menghadiri majlis berbuka puasa di Arab Saudi, 23 Mac. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan hari ini mempertahankan lawatan rasmi perdana menteri ke Arab Saudi, sambil berkata Anwar Ibrahim berjaya dalam banyak aspek walaupun gagal bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan Raja Salman Abdulaziz. 

Sany dalam satu kenyataan berkata Anwar sudah menunaikan kewajipannya untuk negara dan rakyat termasuk pembangkang yang menyifatkan lawatan itu sebagai memalukan.

“Apa yang rakyat dan negara dapat kalau PM Anwar dapat masuk Kaabah sebagaimana yang dikehendaki oleh Wan Faysal? tambahnya, merujuk kepada Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang sebelum ini mempersoalkan apa yang disifatkannya sebagai lawatan tergesa-gesa ke Arab Saudi.

“Jadi apa yang walaun semua nak bising ni sebenarnya?”

Wan Fayshal yang juga ketua Pemuda Bersatu, meminta penjelasan menyeluruh daripada Anwar mengenai lawatan itu, membandingkannya dengan lawatan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada 2021. 

Sany Hamzan.
Sany Hamzan.

Semasa lawatannya, Muhyiddin disambut secara peribadi oleh Mohammed di lapangan terbang dan diberi penghormatan memasuki Kaabah, satu keistimewaan yang jarang diberikan kepada orang kenamaan Islam. 

Anwar melahirkan rasa kesal kerana tidak dapat bertemu Mohammed, dengan laporan Bernama mengatakan pertemuan itu tidak dapat berlangsung kerana putera mahkota itu mempunyai perubahan rancangan menjelang bulan Ramadan. 

Kerajaan juga berkata bahawa Anwar menolak permintaan pegawai Arab Saudi untuk melanjutkan tempoh lawatannya supaya pertemuan dengan putera mahkota dapat dilakukan, dengan mengatakan perdana menteri dijadualkan melawat Kemboja dan China dalam beberapa hari akan datang.

Sany dalam kenyataannya menyenaraikan pencapaian Anwar semasa lawatannya, dengan berkata perdana menteri bertemu dengan pemimpin dari Bank Islam Antarabangsa serta usahawan di kerajaan itu. 

Beliau berkata Anwar turut menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co, Kuala Lumpur International Chamber of Commerce dan Wadi Makkah Knowledge Co, dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn Bhd.

“Anwar telah menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung OIC Hussein Brahim Taha dan rombongannya di Mekah.

“Kita sedar peranan OIC amat besar dalam komuniti Islam di seluruh dunia,” katanya merujuk kepada Persatuan Kerjasama Islam.

“Memang PM Anwar bersedih kerana beliau tidak sempat berjumpa dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz dan putera mahkota berikutan perubahan jadual mereka dan PM tidak dapat melanjutkan lawatan ke Saudi kerana terikat dengan jadual yang lain.

“Jadi yang berdukacita bukannya negara, rakyat atau pembangkang sepatutnya apabila tidak dapat bertemu dengan pemimpin Saudi tetapi PM Anwar sendiri. 

“Tugas untuk negara, rakyat dan termasuk pembangkang sudah berjaya diselesaikan oleh Anwar dalam kunjungan ini dengan terbaik sekali.”