- Iklan -
Berita

Pembinaan MRSM berbayar tidak libatkan peruntukan kerajaan, kata Zahid

Katanya, pelan futuristik yang sedang disusun atur Mara itu akan menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta serta kerjasama dengan institusi kewangan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Cadangan mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar kepada golongan berkemampuan tidak akan melibatkan peruntukan daripada kerajaan, menurut Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata pelan futuristik yang sedang disusun atur Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu akan menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) serta kerjasama dengan institusi kewangan.

Zahid juga memberikan jaminan MRSM berbayar berkenaan tidak akan didirikan di atas tanah Mara yang dikhususkan untuk manfaatkan rakyat miskin.

“Kita akan bekerjasama dengan beberapa pihak menggunakan jalinan pintar (smart partnership) untuk pembinaannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) sama ada kerajaan akan menggunakan tanah Mara yang dikhususkan kepada rakyat miskin dan B40 bagi persekolahan anak-anak untuk golongan T20 dan M40.

Menurutnya MRSM berbayar itu boleh dilaksanakan dengan mengambil contoh pelaksanaan Sekolah  Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka.

“Atas pengalaman peribadi saya, saya telah menubuhkan Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab tanpa sesen pun peruntukan daripada kerajaan. Saya telah melakukannya dan sekolah itu berjalan selama 11 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid berkata cadangan mewujudkan MRSM berbayar tersebut ekoran permintaan tinggi kemasukan ke MRSM iaitu 300 peratus daripada kapasiti sedia ada.

“Kita telah melakukan kajian kebolehlaksanaan dan mendapati ramai pelajar-pelajar berkelayakan untuk memasuki MRSM dari segi akademik tetapi tidak layak dari segi ‘bracket’ pendapatan ibu bapa mereka terutama kumpulan T20 dan M40.

“Salah satu syarat kemasukan (MRSM) ialah keutamaan kepada kumpulan B40,” katanya menambah terdapat juga terlalu banyak permintaan daripada alumni MRSM yang mahukan anak-anak mereka memasuki institusi itu.

Justeru, beliau berkata Mara akan membuka ruang seluas-luasnya bagi anak-anak golongan berkenaan memasuki MRSM tanpa berkompromi dari segi kualiti dan kelulusan minimum akademik.

Menjawab mengenai aduan kos tersembunyi di MRSM sedia ada seperti pembelian baju bagi program tertentu di sekolah yang dibangkitkan Syed Saddiq, timbalan perdana menteri berkata beliau akan bertemu pengerusi persatuan ibu bapa dan guru MRSM bagi mencari jalan agar pelajar golongan B40 tidak terbeban dengan perkara berkenaan.