- Iklan -
Berita

Kerajaan tidak ketepikan agenda umat Islam, Melayu, kata Zahid

Beliau berkata kerajaan tidak pernah mengenepikan agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Kerajaan tidak ketepikan agenda umat Islam, Melayu, kata Zahid

Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengetepikan agenda pembangunan untuk umat Islam serta orang Melayu, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan sentiasa mempertahankan agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Bukan mahu membela kepimpinan kerajaan ini tetapi hakikatnya ada empat perkara iaitu kedudukan agama, Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu serta Bahasa Melayu tidak ada kompromi itu asas Kerajaan Perpaduan diwujudkan.

“Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan sebut martabat, darjat dan harkat Raja yang menjadi prinsip kami. Kami pertahankan soal kedudukan istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya sambil menambah kerajaan juga tidak mengetepikan hak bangsa dan agama lain.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Program Silaturahim Timbalan Perdana Menteri bersama Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia peringkat Negeri Kelantan, Gua Musang, semalam.

Selain itu, Zahid berkata meskipun beliau bukan menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama, namun komitmen untuk membangunkan umat Islam merupakan keutamaannya.

Beliau berkata antara perkara yang sedang dilakukan adalah dengan memberi peluang kepada huffaz dari maahad tahfiz berdaftar seluruh negara untuk melanjutkan pelajaran di pusat pendidikan berkaitan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ada lebih 3,000 TVET di seluruh negara dan apa yang berlaku adalah ramai huffaz saya kumpulkan untuk menceburi TVET…kini ramai antara mereka (huffaz) menjadi jurutera dan sebagainya, malah ada yang bekerja di luar negara,” katanya dan menambah usaha ini juga adalah kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara).