- Iklan -
Berita

Hannah Yeoh beri keterangan kepada polis berhubung program ‘Ziarah Gereja’

Menteri belia dan sukan itu berkata kenyataannya konsisten dengan jawapannya yang diberikan di Parlimen mengenai program itu seminggu lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, 20 Mac. Gambar: Bernama
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, 20 Mac. Gambar: Bernama

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh semalam hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program 'Jom Ziarah Gereja' oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau tiba di IPD Sentul bersama peguamnya, Sangeet Kaur Deo kira-kira jam 5.30 petang. 

Ahli Parlimen Segambut itu berkata beliau memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis dan keterangannya konsisten seperti yang dijawab dalam Parlimen minggu lepas berkaitan program berkenaan.

"Saya hadir selepas membaca berita bahawa saya dipanggil untuk memberi keterangan hari ini dan tidak mahu membuang masa," katanya kepada pemberita di hadapan IPD Sentul di Kuala Lumpur, hari ini. 

Beliau turut berharap polis dapat melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu. 

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan Hannah hadir memberi keterangan hari ini bagi membantu siasatan. 

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata satu kertas siasatan dibuka berhubung penganjuran program itu walaupun program berkenaan dibatalkan. 

Program 'Jom Ziarah Gereja' adalah inisiatif di bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia iaitu sebuah NGO yang bernaung di bawah KBS. 

Selasa lepas, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, Hannah menjelaskan bahawa program 'Jom Ziarah Gereja’ tidak melibatkan individu beragama Islam.