- Iklan -
Berita

Jangan bermain politik soal KXP, ahli Parlimen Padang Serai beritahu Anwar

Azman Nasrudin mendedahkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sudah memohon untuk bertemu Anwar bagi menjelaskan mengenai projek itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin dari Perikatan Nasional (PN) meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk tidak bermain politik dalam soal pembangunan projek lapangan terbang Kedah Aerotropolis (KXP).

Beliau mendedahkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sudah memohon untuk bertemu Anwar bagi menjelaskan mengenai projek itu.

"Jangan pihak kerajaan bermain politik dalam isu pembangunan KXP. Jadilah perdana menteri yang benar-benar memahami keseluruhan projek.

"MB Kedah dua kali menghantar surat untuk berikan taklimat supaya perdana menteri memahami keseluruhan projek," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat, beliau bertanya mengenai peranan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk memastikan KXP diteruskan dalam meningkatkan aktiviti ekonomi di selatan Kedah.

Dalam jawapannya, Anthony Loke berkata cadangan projek pembangunan KXP adalah tertakluk kepada kajian National Airport Strategic Plan (NASP).

"Belum ada juga permohonan rasmi pembiayaan, tempoh pembangunan, operator lapangan terbang, kawasan yang terbabit serta maklumat lain yang berkaitan untuk pertimbangan Kementerian Pengangkutan," katanya.

"Tidak timbul soal kita menolak kerana kita perlu faham ada prosesnya. Dalam hal ini, NASP juga belum muktamad dan saya pun belum tahu kerana NASP belum dikemukakan kepada saya," kata menteri pengangkutan itu ketika menjawab soalan Azman.

Loke juga sebelum itu menggesa agar isu itu tidak dipolitikkan.

Azman dalam pada itu berkata, Loke tidak menjawab isu yang dibangkitkan beliau berhubung KXP ketika penggulungan Belanjawan 2023.

"Bila ditanya tentang kemajuan kelulusan KXP, beliau (Loke) katakan ketika itu tidak menerima sebarang permohonan.

“Ia sangat mengelirukan," katanya yang juga exco pengangkutan Kedah. 

Katanya, kerajaan negeri Kedah sudah memohon mengadakan KXP sejak 2013, dengan kira-kira 51 sesi libat urus dengan agensi-agensi berkaitan di bawah MOT.

Minggu lalu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Anwar menyokong projek KXP.