- Iklan -
Berita

Selepas 6 tahun, sekolah tahfiz terbakar terus popular

Kemasukan pelajar tetap ramai di sebalik tragedi yang berlaku di tragedi di Tahfiz Darul Ittifaqiyah.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Anggota bomba dan penyelamat di luar pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, lokasi kebakaran yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden pada 14 September 2017. Gambar: AFP
Anggota bomba dan penyelamat di luar pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, lokasi kebakaran yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden pada 14 September 2017. Gambar: AFP

Lelaki berjubah biru gelap itu mengenang kembali satu tragedi yang tidak akan pernah luput dalam ingatannya.

Mohd Zahid Mahmood ketika itu sedang mengaji al-Quran di rumahnya sementara menunggu untuk sembahyang Subuh.

Beliau kemudiannya dikejutkan dengan panggilan telefon dari seseorang yang amat dikenalinya.

Tidak tahu apa yang berlaku, di hujung panggilan hanya kedengaran orang itu sedang cemas dan menangis.

"Ustaz, mari ustaz. Tahfiz terbakar," kata pemanggil.

"Terbakar? Teruk ke terbakar tu?" soalnya kembali.

"Teruk, Ustaz. Ada pelajar yang tak boleh keluar, terperangkap."

Panik dan risau dengan maklumat tersebut, Zahid bergegas ke lokasi kejadian yang kurang 1km dari pintu rumahnya.

Setibanya di tempat kejadian, jiran terdekat dan orang ramai sudah mula berkumpul.

Masih segar diingatannya bunyi tangisan jiran-jiran dan beberapa orang sibuk membuat panggilan kepada keluarga dan pasukan penyelamat. 

Zahid mengimbas kembali detik hitam pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Kuala Lumpur yang terbakar pada pagi 14 September 2017 mengorbankan 21 pelajar dan dua warden.

Tragedi pilu itu menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia buat beberapa ketika kerana simpati dan mengenang pemergian pelajar pusat tahfiz berkenaan yang masih terlalu muda dan terperangkap ketika bergelut untuk menyelamatkan diri. 

Berita mengenai tragedi itu turut mendapat liputan oleh agensi media antarabangsa menamakan ianya sebagai satu kejadian kebakaran paling dahsyat dalam beberapa dekad di Malaysia.

Kini, sudah hampir enam tahun kejadian itu berlaku.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Zahid memberitahu tahfiz itu menerima lebih 200 permohonan untuk kemasukan pelajar setahun selepas kebakaran tersebut meskipun pihak pengurusan sekolah dan dirinya sendiri dihimpit pelbagai dakwaan dan kecaman daripada pelbagai pihak.

Beliau menyifatkan, ramai ibu bapa yang sudah mengenali nama dan reputasi pusat tahfiznya itu bahkan sebelum tragedi tersebut berlaku.

"Sekolah tahfiz saya sudah bertapak di sini sejak tahun 2000. Dah banyak program dan majlis ilmu yang kita jalankan sejak penubuhannya. 

"Sejak dulu ramai pihak yang senang hati dengan pelajar-pelajar kita. Termasuk pemimpin negara dan diraja yang memuji anak-anak di sini sebagai berdisiplin dan berprotokol." 

Tambahnya, pelajar-pelajar Darul Ittifaqiyah juga sudah bersedia untuk menghadiri pelbagai majlis ilmu dan jemputan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan ini. 

Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke atas seorang remaja selepas didapati membakar pusat tahfiz berkenaan.

Kini, pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah mempunyai kira-kira 30 orang pelajar termasuk dua orang guru merangkap warden asrama. 

Tinjauan MalaysiaNow ke pusat tahfiz berkenaan di Kampung Datuk Keramat di Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati para pelajar selesa menjalani rutin pembelajaran dan tidak lagi dibayangi tragedi pilu itu. 

Disebabkan lokasi bangunan yang terbakar berdekatan dengan bangunan sekolah, mereka melalui bangunan tersebut hampir setiap hari dan menunaikan solat Jumaat di masjid yang terletak bersebelahan dengan bangunan itu. 

Tempat tinggal mereka di tingkat bawah bangunan juga diawasi dengan baik oleh warden dan pelajar yang sambil lewa tentang kebersihan akan ditegur supaya mendisiplinkan diri. 

Mereka juga diberikan waktu rehat yang mencukupi untuk riadah, slot kelas yang tidak ketat selain waktu makan sebanyak empat kali sehari. 

Difahamkan, kesemua pelajar tidak dikenakan sebarang bayaran yuran memandangkan mereka daripada keluarga berpendapatan rendah dan miskin bandar. 

Sementara itu, seorang bapa pelajar, mahu dikenali sebagai Muhammad berkata anaknya memang mengetahui tentang kejadian tersebut kerana ketika itu dia sudah pun menuntut di sekolah rendah. 

Katanya, anaknya sendiri meminta supaya dihantar untuk belajar di pusat tahfiz dan tidak terlalu memikirkan dengan kejadian yang membabitkan Tahfiz Darul Ittifaqiyah. 

"Anak saya sekarang berusia 14 tahun dan jarang sekali merungut tentang pengajiannya baik kepada saya atau isteri. 

"Saya pada mulanya risau jika ianya berulang tapi saya yakin dengan rekod sekolah ini dan guru-gurunya.

"Sebab itu saya dan isteri restu anak kami untuk dihantar ke sini dan teruskan legasi pengajian tahfiz di Malaysia," katanya ketika dihubungi Malaysianow. 

Ketika ditanya, adakah dia akan mengubah fikiran sekiranya kes saman yang dikemukakan oleh ibu bapa mangsa terhadap Zahid, isterinya dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak berpihak kepada sekolah.

Muhammad menegaskan dia maklum tentang perbicaraan tersebut yang masih berjalan di mahkamah dan enggan mengulas lanjut mengenainya kerana tidak terlibat secara langsung. 

"Bagi saya pihak pengetua sekolah kalah atau menang, tahfiz ini tetap akan buka dan berjalan. 

"Tak ada isu tentang itu. Biar mahkamah tentukan ikut undang-undang."