- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi kecam KDN 'tidak peduli' permohonan kerakyatan kanak-kanak terbiar

Lawyers for Liberty berkata banyak permohonan oleh kanak-kanak tanpa kerakyatan yang berhak mendapat kewarganegaraan di bawah Perlembagaan tidak diendahkan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Lawyer for Liberty, Zaid Malek semasa sidang akhbar berkaitan kerakyatan kanak-kanak terbiar yang diadakan di Petaling Jaya, 16 Mac.
Pengarah Lawyer for Liberty, Zaid Malek semasa sidang akhbar berkaitan kerakyatan kanak-kanak terbiar yang diadakan di Petaling Jaya, 16 Mac.

Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini kerana gagal mematuhi keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak terbiar, mengatakan permohonan kanak-kanak tanpa kerakyatan tidak diendahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 

Pengarah LFL Zaid Malek berkata kerajaan membisu dalam banyak permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa anak-anak terbiar dan tanpa kerakyatan berhak menjadi warganegara Malaysia.

“Realitinya di sini, di sebalik perkataan yang jelas dalam kes Persekutuan pada 2021, ahli keluarga dan individu yang dianggap terbiar masih berdepan masalah untuk mendapatkan kerakyatan kerana kedegilan pegawai JPN.

“Mereka enggan menerima keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Pada 2021, Mahkamah Persekutuan memberikan kewarganegaraan kepada seorang remaja berusia 17 tahun yang dilahirkan di hospital tempatan yang menjadi anak angkat oleh pasangan tempatan.

Zaid menggesa kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri menyelesaikan isu permohonan kerakyatan yang tergantung, sambil mendakwa JPN kekal bersikap acuh tak acuh dengan keputusan mahkamah pada 2021.

"Permohonan kewarganegaraan di bawah kuasa menteri.

“Menteri yang ada kuasa untuk luluskan atau tidak luluskan.

“Mereka berhak mendapat kewarganegaraan, jadi apa isunya di sini?"

Beliau berkata, dalam beberapa kes, JPN memberitahu pemohon untuk pergi ke mahkamah bagi mendapatkan perintah mereka sendiri.

“Bila kita minta SOP mereka, JPN kata itu urusan dalaman. Pegawai mengarahkan individu mengambil Borang 15 iaitu permohonan kerakyatan.

“Kita perlu membezakan antara permohonan dan kewarganegaraan sebagai hak,” tambahnya.

"Tidak perlu memohon, tidak perlu kelulusan daripada menteri dalam negeri. Mereka berhak mendapat kerakyatan mengikut Perlembagaan Persekutuan."